Sunday, July 18, 2010

Kenyataan Nik Aziz tidak konsisten, sudah diduga

JELEBU 17 Julai - Keengganan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk berbincang dengan UMNO ke arah permuafakatan orang Melayu sememangnya sudah diduga, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (gambar) .

Bagi beliau, perkara tersebut menjelaskan tentang sikap pemimpin itu yang tidak pernah konsisten dalam kata-katanya termasuk dalam perjuangan partinya.

"Kita sudah kenal Pas khususnya Nik Aziz, bila pihak lain kata nak runding, beliau kata tak boleh bincang, sekejap boleh bincang, sekejap tidak. Jadi kalau lihat tidak ada konsistensi dari segi perjuangan dan hala tuju parti ini,"katanya yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jelebu di Dewan Budaya Simpang Pertang di sini hari ini.

Mohd. Shafie mengulas kenyataan Nik Aziz hari ini yang bersetuju berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selagi perbincangan itu tidak menjurus kepada perpaduan di antara Pas dan UMNO.

Sebaliknya Nik Aziz mahu pertemuan tersebut memberi fokus terhadap rundingan pemberian royalti minyak kepada negeri itu.

Mohd. Shafie pada masa sama menafikan bahawa UMNO terdesak untuk bersatu dengan Pas, sebaliknya menekankan bahawa perbincangan tersebut ke arah penyatuan bangsa.

''Tidak bererti apabila kita berkata ada cadangan untuk penyatuan UMNO-Pas bermakna ada kelemahan dalam UMNO, cuma memikirkan betapa perlunya penyatuan agama itu yang ingin kita daulatkan,'' jelasnya.

No comments: