JAKARTA 28 Jun - Krisis kepimpinan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) kebelakangan ini menjejaskan keberkesanan pentadbiran negeri Selangor yang akhirnya merugikan rakyat negeri itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan Perdana Menteri berkata, krisis berkenaan seharusnya membuka mata rakyat Selangor kerana ia jelas menunjukkan kepimpinan PKR bukan sahaja tidak dapat diterima rakyat, tetapi juga ahli-ahli parti pembangkang itu sendiri.
"Perkara ini seharusnya membuka mata seluruh rakyat Selangor, apa yang berlaku nampak jelas kepimpinan PKR bukan sahaja tidak dapat diterima rakyat, tetapi juga ahli-ahli mereka.
"Sejak beberapa bulan ini banyak isu yang jelas timbul, maknanya kepimpinan PKR tidak ada kesepakatan sehingga ganggu-gugat pentadbiran negeri dan rakyat akan rugi.
''Ia harus dijadikan satu iktibar, saya pasti rakyat Selangor mahu pembangunan dan pentadbiran lancar. Negeri termaju merosot hanya kerana parti tidak ada kemampuan mentadbir dan menjadi beban merugikan," katanya pada sidang akhbar semasa mengadakan lawatan kerja tiga hari di sini sejak semalam.
Muhyiddin diminta mengulas pelantikan Naib Presiden PKR, Azmin Ali sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor bagi menggantikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan ia dipercayai adalah sebahagian daripada rancangan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memantapkan parti itu di Selangor.
Keputusan itu juga dilihat sebagai usaha untuk mengenepikan Menteri Besar tersebut kerana tidak lagi mendapat kepercayaan Anwar.
Menurut sumber, beberapa isu yang tercetus di negeri berkenaan memperlihatkan kelemahan Abdul Khalid sebagai pemimpin parti dan negeri.
Ini termasuk ketidakpercayaan ahli akar umbi PKR terhadap kepimpinan Abdul Khalid di Kuala Selangor, penyelewengan penjualan pasir dan pengambilan tanah Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) yang gagal ditangani baik sehingga menyumbang kepada kekalahan PKR dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment