KUALA LUMPUR: Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) berang dengan tindakan beberapa wakil rakyat pembangkang mengadakan pertemuan dengan penyokong dari luar di Bangunan Parlimen hari ini sehingga menimbulkan suasana kecoh.
Dalam kejadian yang berlaku tengah hari tadi, BNBBC turut mempersoalkan tahap keselamatan di Bangunan Parlimen yang disifatkan terlalu longgar sehingga ada pihak dengan mudah mengadakan pertemuan politik di situ.
Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) memberitahu pemberita bahawa beliau telah masuk ke bilik rehat anggota Dewan Negara setelah terdengar beberapa Anggota Parlimen pembangkang sedang mengadakan mesyuarat dan mengutuk BN.
Pada ketika itu, katanya, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur), M.Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat), Gobind Singh (DAP-Puchong) dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (Pas-Bukit Gantang) sedang mengadakan mesyuarat meja bulat dengan sekumpulan penyokong mereka mengenai isu biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam dan kemasukan ke kolej matrikulasi.
Idris berkata, beliau yang hanya mahu mendapatkan penjelasan mengenai isu yang diperbincangkan telah meminta kebenaran untuk turut serta tetapi tidak dibenarkan.
"Kulasegaran meminta saya keluar kerana menyifatkan saya tidak dijemput," katanya dan mendakwa beliau kemudiannya cuba dihalau keluar dari bilik itu oleh beberapa penyokong pembangkang.
Keadaan itu menyebabkan Anggota Parlimen BN yang berada berhampiran termasuk Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Rashid Shirlin, Datuk Ismail Kassim (BN-Arau), Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) dan Timbalan Pengerusi BNBBC Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) campur tangan.
Keadaan itu menyebabkan berlaku tolak menolak sebelum anggota keselamatan Parlimen tiba untuk meleraikan keadaan.
Bung Moktar mempersoalkan keselamatan Parlimen yang pada pendapatnya longgarhingga menyebabkan kejadian tersebut berlaku manakala Rosnah pula mempersoalkanbagaimana kelulusan boleh diberi kepada Anggota Parlimen pembangkang mengadakanpertemuan yang menyentuh sentimen parti.
Kulasegaran pula menjelaskan ianya hanya satu perbincangan mengenai rasa tidak puas hati berhubung kuota biasiswa JPA dan kemasukan ke kolej matrikulasi antara kaum di negara ini, dan pihaknya telah cuba mengadakannya di bilik lain di Parlimen tetapi dimaklumkan tiada bilik kosong, kecuali ruang rehat anggota Dewan Negara.
"Ini adalah tempat yang rakyat boleh datang, bukan hanya terhad kepada mereka yang tertentu," katanya yang mendakwa telah menjemput wakil MIC untuk menghadiri perbincangan itu tetapi tidak ada yang hadir.
Pada sesi petang, Bung Mokhtar mengemukakan usul meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengambil tindakan ekoran insiden berkenaan.
Pandikar Amin meminta masa untuk menyiasat perkara itu sebelum membuat keputusan.
BERNAMA
BERNAMA
No comments:
Post a Comment