Monday, June 7, 2010

12 diiktiraf wira negara



Najib Tun Razak bersama sukarelawan yang pulang daripada menyertai misi kemanusiaan ke Genting Gaza di kediamannya di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 6 Jun - Seramai 12 sukarelawan Malaysia yang ditahan oleh rejim Zionis Israel ketika dalam perjalanan membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, Palestin hari ini diiktiraf sebagai wira negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walaupun tiada sukarelawan Malaysia terkorban atau mengalami kecederaan tetapi keberanian mereka melaksanakan misi kemanusiaan tersebut merupakan satu perkara yang harus diakui atas nama kebebasan rakyat Palestin.

Menurutnya, sebaik sahaja memulakan misi berkenaan mereka sanggup menghadapi segala cabaran yang akan dihadapi hingga ke peringkat 'bersabung nyawa' semata-mata mahu melihat penderitaan rakyat Palestin dapat dihentikan.

''Saya berbangga dengan keberanian 12 sukarelawan kita ini. Mereka berjaya membuktikan bahawa semangat perjuangan rakyat Malaysia untuk membebaskan bumi Palestin daripada cengkaman rejim Zionis Israel tidak pernah padam.

''Sejajar dengan semangat yang mereka tunjukkan ini kerajaan akan terus membantu rakyat Palestin termasuk berusaha memberi tekanan kepada rejim Zionis Israel dalam pelbagai cara,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menyambut kepulangan 12 sukarelawan Malaysia di kediamannya di Langgak Duta di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan ahli keluarga sukarelawan.

Mereka yang diraikan itu ialah ketua misi sukarelawan, Noorazman Mohd. Samsuddin diikuti Dr. Mohd. Arbai'e Syawal; Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan al-Haddad; Al-Hami Husain Suhaimi, Mohd. Nizam Mohd Awang; Hasanuddin Mohd. Yunus.

Enam lagi sukarelawan ialah Jamuliddin Elias; Dr. Selamat Aliman; Abdul Halim Mohd. Redzuan; Mustafa Mansur; Ashwad Ismail (wartawan Astro Awani) dan Shamsul Kamal Latif (jurukamera Astro Awani).

Mereka merupakan antara sukarelawan yang telah diserang oleh tentera rejim Zionis semasa dalam perjalanan ke Gaza bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin dengan menaiki kapal Mavi Marmara.

Dalam pada itu Najib berkata, pengalaman menyayat hati yang mereka lalui itu amat berharga bagi rakyat Malaysia kerana ia dapat memberi gambaran sebenar betapa pedihnya penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin selama ini.

''Selama ini kita hanya mengetahui penderitaan rakyat Palestin di kaca televisyen dan di dada akhbar. Kali ini pengalaman itu turut dirasai oleh rakyat kita malah mereka dapat menyaksikan bagaimana anggota sukarelawan lain ditembak pada jarak dekat.

''Inilah bentuk pengalaman yang cukup berharga. Pengalaman mereka ini harus dikongsi bersama dengan rakyat yang lain supaya kita dapat merasai penderitaan sebenar rakyat Palestin. Dengan cara ini ia boleh membangkitkan kesedaran kepada kita semua,'' katanya.

Beliau berkata, meskipun jumlah anggota sukarelawan Malaysia kecil tetapi penglibatan mereka itu amat membanggakannya kerana merupakan sekumpulan rakyat yang berani berkorban untuk menamatkan penderitaan orang lain.

''Fakta ini akan termaktub dalam lipatan sejarah dan tertulis dengan tinta emas bahawa terdapat 12 sukarelawan Malaysia yang berjiwa besar bersatu untuk membantu rakyat Palestin,'' katanya.

Sementara itu Najib berkata, sebaik sahaja kerajaan mengetahui 12 sukarelawan ditahan oleh rejim Zionis Israel, beliau terus meminta Menteri Luar segera ke Jordan untuk melakukan gerakan misi menyelamat.

''Alhamdulillah dengan izin Allah usaha kita berjaya iaitu dengan hasil kerjasama kerajaan Jordan. Saya sendiri faham bagaimana hebatnya tekanan yang mereka rasai ketika ditahan termasuk keluarga di tanah air.

''Sebab itu kita berusaha sedaya upaya untuk segera mengeluarkan tahanan kita dari Israel dengan apa cara sekalipun,'' katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengakui pengalaman 12 sukarelawan itu amat mencemaskan kerana mereka melalui satu saat paling genting dalam hidup.

''Bayangkan mereka melihat bagaimana tentera rejim menembak secara jarak dekat sukarelawan lain yang tidak bersenjata. Malah ada di antaranya yang ditembak dari arah belakang.

''Sukarelawan terbabit ditembak oleh komando Israel tanpa belas kasihan. Pengalaman ini amat mencemaskan. Saya juga pernah melalui saat-saat cemas tetapi tidaklah secemas yang mereka lalui,'' kata Najib.

No comments: