Monday, May 10, 2010

Jayakan Gagasan 1Malaysia - Rohani


Caption: JAYAKAN 1MALAYSIA...Rohani ketika membicarakan perkara mengenai Gagasan 1Malaysia di Rumah Panjang Batu Lapan, Pusa.

PUSA, Khamis (6 Mei) – Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Hajah Rohani Abdul Karim mahu Gagasan 1Malaysia diangkat dalam hidup setiap penduduk berbilang kaum dan agama dalam kawasan Batang Lupar mulai sekarang.

Ini kerana perlaksanaan Gagasan 1Malaysia menurut beliau dilihat mampu memacu pembangunan dalam negeri ini khususnya bagi kawasan Batang Lupar menjelang tahun 2020 nanti.

“Perlaksanaan Gagasan 1Malaysia sememangnya mengundang banyak cabaran memandangkan Malaysia khususnya Sarawak mempunyai ramai penduduk yang berbilang kaum dan agama.

“Ia sememangnya mengundang cabaran dalam melaksanakan projek pembangunan untuk mereka. Oleh itu Gagasan 1Malaysia dilihat sebagai satu langkah untuk menghimpunkan semua penduduk demi membolehkan projek pembangunan itu dilaksana dengan lancar,” menurut beliau.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar berkata demikian ketika berucap merasmikan Program 1Malaysia Bersama Pemimpin di Rumah Panjang Batu Lapan, Pusa anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Parlimen P.201 Batang Lupar baru-baru ini.

Selain itu Rohani juga mahu semua penduduk untuk tidak memperlekehkan perlaksanaan Gagasan 1Malaysia yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas ini.

“Semua penduduk di kawasan Batang Lupar sudah sedia maklum bahawa kerajaan telah merancang untuk memperhebatkan lagi projek pembangunan dalam kawasan kita khususnya dari segi perlaksanaan projek pertanian komersial seperti di Lingga.

“Saya yakin ia akan mengubah taraf hidup penduduk di kawasan Batang Lupar dari segi perolehan sumber ekonomi. Justeru saya memohon semua penduduk untuk menerima dan menjayakan perlaksanaan Gagasan 1Malaysia ini dengan hati yang terbuka mulai sekarang,” menurut beliau.

Beliau pada majlis terbabit telah mengumumkan peruntukan Prjojek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM5,000 untuk Rumah Panjang Batu Lapan berkenaan. Turut diumumkan ialah mengenai kelulusan projek pembinaan jalan raya ke Rumah Panjang Bungkong Belok yang telah diluluskan tahun ini.

Hadir sama ialah wakil Datuk Bolhasaan Di iaitu Haji Morshidi Jon, Pegawai Tadbir Sarawak, Dr James, SAO Crispin, ketua kaum, wakil jabatan kerajaan dan ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Tamat.

No comments: