Friday, March 5, 2010

Sarawak sudah sedia hadapi pilihan raya - Taib Mahmud

KUCHING 4 Mac - Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, senario politik Sarawak kini amat baik untuk pilihan raya negeri diadakan, sekali gus membayangkan ia boleh berlaku pada bila-bila masa dari sekarang.

Menurutnya, senario tersebut berdasarkan maklum balas positif daripada perwakilan Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ke-12 hari ini bahawa mereka bersedia sepenuhnya menghadapi pilihan raya negeri.

Sehubungan itu, Abdul Taib yang juga Presiden PBB mahu jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) negeri digerakkan dengan lebih agresif mulai sekarang untuk menghadapi pilihan raya negeri yang akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang,

''Delegasi yang menyertai perhimpunan ini telah memberi inspirasi bahawa mereka sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya negeri,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung PBB Ke-12 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.

Abdul Taib memberitahu, rakyat sendiri telah memberi isyarat bahawa mereka sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya.

''Saya sangat gembira malah bercakap mengenai pilihan raya adalah satu perkara yang melucukan, inilah yang dimahukan oleh delegasi (mengadakan pilihan raya)," ujarnya.

Ditanya mengenai barisan kepimpinan parti yang ada sekarang, Abdul Taib berkata, tidak berlaku banyak perubahan dalam kepimpinan parti tersebut.

Menurutnya, barisan pemimpin sedia ada masih seperti dahulu iaitu mengekalkan standard perkhidmatan yang tinggi serta mengutamakan kepentingan rakyat.

Jelas beliau, Sarawak sedaya upaya menggunakan sepenuhnya peruntukan yang diberikan oleh kerajaan Persekutuan bagi membolehkan negeri ini mempunyai kemudahan yang setanding dengan negeri-negeri lain.

''Sarawak dahulunya merupakan sebuah negeri yang mundur tetapi kini berada di kedudukan ketiga negeri termaju di Malaysia," katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai kurangnya penglibatan wanita dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB kali ini, Ketua Menteri berkata, ia bukan satu isu kerana masih ada pemimpin wanita dalam barisan kepimpinan parti.

No comments: