Saturday, March 6, 2010

PBB Kemana Hala Tujunya?


Dr Jeniri Amir

Pusat Konvensyen Borneo, Kuching kelihatan sibuk dan berwarna-warni dengan kehadiran 5000 perwakilan dari 71 cawangan dari seluruh negeri yang menghadiri Perhimpunan Agung PBB Ke-12. Para pemimpin dan perwakilan sedang berusaha untuk memetakan hala tuju parti dan bagaimana menghadapi pilihan raya yang akan datang.

Beberapa orang perwakilan dan pemimpin dilihat berbincang dan berdebat tentang pelbagai isu dan usul. Mereka hangat menyentuh usul politik, pendidikan, ekonomi dan sosial. Berkaitan dengan usul politik, konvensyen kali ini mengharapkan seramai 275,455 ahli parti dapat memperkasa diri untuk mempertahan kerusi PBB dan Barisan Nasional dalam pilihan raya negeri yang akan datang. Usul itu juga menuntut supaya ahli cuba menangkis segala tohamahan pembangkang berteraskan ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’. Ternyata, persoalan politik dan pilihan raya menjadi tumpuan sesuai dengan suhu kehangatan pilihan raya yang semakin meningkat minggu demi minggu dan bulan demi bulan.

PBB yang ditubuhkan pada tahun 1973 selepas percantuman antara parti Pesaka dan Bumiputera merupakan parti tulang belakang Barisan Nasional Sarawak. Dengan menguasai 35 kerusi berbanding Parti Perpaduan Rakyat Sarawak (SUPP) sebanyak 12 kerusi, dan lapan kerusi masing-masingnya oleh Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP), kekuatan PBB dari segi peratusan ialah 49.3 peratus. Jadi, tidak salah jika rakyat meletakkan harapan tinggi kepadanya.

Barisan Nasional menguasai 62 daripada 71 kerusi dalam pilihan raya 2006. Sebagai parti tulang belakang dan telah muncul sebagai pemimpin utama di negeri ini untuk lebih 35 tahun, PBB ingin memastikan bahawa semua kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya akan datang dapat dikekalkan, selain ingin melihat penguasaan pembangkang sebanyak sembilan kerusi sekarang terhakis. Cabaran paling getir bakal dihadapi oleh SUPP bagi mengekang pengaruh DAP dalam kalangan pengundi Cina, manakala SPDP sedang bergolak hebat ekoran keputusan lima orang Ahli Dewan Undangan Negeri ingin menyertai PRS atas alasan ingin bergabung dengan parti pimpinan Datuk Dr James Jemut Masing.

Jadi, isu dan masalah yang dijangka menjadi duri dalam daging, termasuk isu hak Tanah Adat Bumiputera (NCR) perlu diselesaikan. Strategi ampuh untuk menghadapi pembangkang hendaklah direncanakan bagi memastikan segala hujah pembangkang dapat ditangkis dengan meyakinkan, kerana haikikatnya dalam komunikasi politik, soal hujah dan keyakinan menangkis hujah lawan dapat menentukan kemenangan. Cara dan strategi kempen sebelum ini tidak lagi berkesan dan relevan.

PBB dijangka akan terus memainkan peranan utsma dalam arena politik Sarawak pada tahun-tahun yang akan datang. Justeru, amat penting bagi parti pimpinan Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud untuk memetakan perjalanan yang lancar ketika negeri ini sedang mengharungi cabaran politik, ekonomi dan sosial yang lebih hebat. Bagi memastikan PBB terus relevan, pemimpin pelapis dan pemimpin muda yang berwibawa juga perlu dipupuk dan diberi peluang untuk memainkan peranan masing-masing. Ruang perlu diberi untuk mereka bersaing bagi memastikan hanya yang terbaik diberi tempat.

Bagaimanapun, semasa berucap merasmikan Perhimpunan Pergerakan Wanita dan Pemuda PBB ke-12 di Kuching Sabtu lalu, Taib menegaskan budaya meneruskan kesinambungan kepemimpinan dalam PBB perlu dipertahan dan dikekalkan demi memastikan parti tonggak BN Sarawak itu terus kukuh, dan seterusnya dapat melanjutkan agenda pembangunan bagi membela nasib rakyat pelbagai kaum di negeri ini. Bagi Ketua Menteri Sarawak itu, hal ini penting kerana inilah resipi kekuatan dan keutuhan parti yang berusia 41 tahun itu.

“Dalam PBB kita melatih pemimpin pelapis untuk mengambil alih kepemimpinan parti apabila sampai masanya. Pada peringkat bawah kita buka perubahan dan muka baru,” kata beliau. Hakikat bahawa pemimpin muda perlu sentiasa dipantau prestasi mereka memang wajar. Muka baru perlu diberi peluang untuk memperlihatkan bakat kepemimpjnan mereka. Dari Pergerakan Pemuda, misalnya terdapat dua orang pemimpin yang menjadi timbalan menteri, termasuk Ketua Pergerakan Fadillah Yusuf dan Datuk Seri Sulaiman Taib meskipun kemudiannya Sulaiman melepaskan jawatannya. Dalam pilihan raya yang akan datang, beberapa orang ahli daripada pergerakan Pemuda wajar diberi peluang untuk bertanding sebagai langkah untuk memberi peluang kepada pemimpin muda meneruskan perjuangan parti.

Taib dalam ucapan yang menarik perhatian perwakilan itu berkata: “Sebab itulah kita lihat dalam setiap pilihan raya, PBB akan mencalonkan antara 20 ke 30 peratus muka baru. Mereka berundur secara sukarela bagi memberi peluang kepada pemimpin baru. Dijangka, sekurang-kurangnya tujuh orang penyandang akan berundur dalam pilihan raya yang dijangka diadakan seawal Jun atau selewat-lewatnya April tahun depan. Yang pasti pemimpin seperti Datuk Hamden Ahmad, Bolhassan Di, Wahbi Junaidi, Wan Wahab Wan Sanusi, akan memberi laluan atau diminta untuk berundur dalam pilihan raya itu. Mereka bukan sahaja kelihatan sudah tidak bermaya tetapi mendapat pukulan hebat dalam pilihan raya lalu apabila majoriti undi berkurangan di tangan pembangkang.

Memang wajar, sesiapa yang dilihat sebagai beban kepada parti atau mempunyai peluang tipis untuk memenangi kerusi, digugurkan, lebih-lebih lagi jika calon terbabit sudah lama menjadi ADUN. Kehadiran muka baru amat penting ketika BN berdepan dengan landskap politik yang sudah jauh berubah.

Jangan mencuba untuk meremeh atau memperlekeh kuasa golongan pengundi muda. Mereka ini bak kata Fadillah dalam ucapannya di hadapan perwakilan Pemuda baru-baru ini merupakan golongan yang terpelajar, terdedah kepada media alternatif, bersikap kosmopolitan, dan tidak mudah menerima apa-apa sahaja yang diperkatakan oleh pemimpin. “Mereka merupakan golongan yang menangkis fakta dengan fakta, hujah dengan hujah dan wacana dengan wacana,” tegas beliau.

Pemuda berkenaan begitu kritikal dan kadangkala skeptikal terhadap kerajaan dan pemimpin politik. Bagaimanakah ahli dan pemimin PBB di peringkat cawangan dapat menunduk dan memujuk mereka? Apakah starategi ampuh yang bakal digunakan untuk menarik mereka ke kubu BN? Atau sebagai golongan kritis, adakah mereka mahu menjadi kuasa pengimbang dengan memberi undi kepada Pakatan Rakyat?

Pemimpin dan Ahli Majlis Tertinggi PBB perlu terus berusaha untuk memastikan segala cadangan dan usul yang dikemukakan dalam perhimpunan kali ini dilaksanakan bagi memperkasa parti. PBB perlu dilihat sebagai parti yang mesra rakyat dan mengutamakan kepentingan, kebajikan dan masa depan rakyat. Sejauh mana PBB dapat menyelesaikan sebarang masalah rakyat dan isu yang sentiasa membelenggu mereka akan menentukan sama ada parti itu terus relevan pada masa depan. Masa untuk berpolitik dan beretorik sudah berlalu.

Selepas perhimpunan ini, rakyat mengharapkan agar para perwakilan dapat benar-benar merasai denyut nadi dan gerak rasa rakyat miskin di kota dan desa serta di pesisiran dan di pedalaman, tanpa mengira kaum. Mereka perlu segera turun ke akar umbi dengan mendekati golongan miskin, nelayan, petani dan buruh. Kuasa dan mandat yang diberi perlu digunakan sebaik-baiknya untuk mengubah nasib rakyat, sesuai dengan tema perhimpunan kali ini, ‘Mentransformasi Rakyat Untuk Mencapai Ekonomi Berpendapatan Tinggi’.

Transformasi tidak mungkin dapat dilakukan jika minda atau sikap rakyat tidak berjaya diubah terlebih dahulu. Peluang yng seluas-luasnya perlu diberi kepada mereka untuk menyertai politik pembangunan kerajaan. Dalam pada itu, kita perlu realistik, masih banyak rakyat yang miskin, tanpa mengira kaum dan tempat tinggal mereka. Langkah strategik perlu diambil untuk mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan terlebih dahulu daripada kita berangan-angan untuk terus melonjakkan mereka ke tahap golongan berpendapatan tinggi.

Bukan menjadi rahsia lagi, masih banyak cawangan PBB yang tidur lena. Ketika balik ke Mukah baru-baru ini, penduduk di sebuah kampung mendakwa bahawa PBB cawangan hanya aktif menjelang pilihan raya. “Mereka hanya bangun dan gah waktu kempen; waktu lain mereka tidur lena. Mereka kelihatan sibuk dengan menaburkan pelbagai janji setiap pilihan raya termasuk berjanji untuk menurapkan jalan raya di kampung. Jalan raya ke Kampung Sau belum lagi berturap walaupun kami diberi janji menjelang setiap pilihan raya sejak dahulu lagi,” kata beliau.

Lelaki berusia 40-an itu mengakui bahawa tidak ada langkah atau program konkrit untuk mengubah minda rakyat, apatah lagi untuk mengubah ekonomi rakyat yang rata-rata miskin. Segala inti perbincangan, usul dan cadangan dalam dewan perhimpunan tidak harus hanya hangat dan menggelegak di dewan perhimpunan. Usul dan cadangan pragmatik perlu dilaksanakan demi kebaikan rakyat dan parti. Parti perlu dijadikan sebagai wadah untuk berjuang bagi mengangkat maruah dan martabat rakyat.

Satu lagi kelemahan PBB ialah tidak terdapat usaha konkrit untuk menambah ahli di peringkat akar umbi. Sebagai strategi untuk meningkatkan majoriti undi dalam pilihan raya akan datang, usaha perlu digerakkan bukan sahaja untuk menambahkan jumlah ahli, tetapi yang lebih penting, mereka perlu menjadi pengundi calon PBB dan BN.

Pemimpin pelapis yang bakal mengambil alih daripada Presiden perlu diberitahu kepada ahli dan rakyat. Mereka tidak seharusnya dibiarkan untuk terus berteka-teki. Para perwakilan harus jelas akan hal ini sesudah berakhirnya perhimpunan kali ini.

PBB perlu terus memainkan peranan penting dan aktif untuk membawa Sarawak ke hadapan. Bagi rakyat Bumiputera, inilah parti yang menjadi harapan mereka untuk terus menyala dan membawa obor perjuangan dan membela nasib mereka.

Penulis ialah penganalisis politik dan pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak.

No comments: