Empat isu akan dibahas pada Perhimpunan Agung PBB
March 1, 2010, Monday
KUCHING: Empat isu utama akan dibahaskan pada Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang bermula 1 hingga 3 Mac ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini. Pengerusi Jawatankuasa Perbahasan Awang Bemee Awang Ali Basah berkata, isuisu tersebut ialah politik, ekonomi, pendidikan dan sosial.
“Isu-isu ini memerlukan penelitian dan dalam perbahasan ini merangkumi punca pendapatan rakyat,” katanya dalam sidang media di BCCK, semalam.
Dalam pada itu, katanya, perbahasan berkenaan juga menumpukan terhadap pembinaan kapasiti di kalangan perwakilan untuk berhadapan cabaran terutamanya pembangkang bagi mengekalkan dan memenangi semula kerusi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri akan datang.
Berhubung ekonomi, beliau berkata perbahasan akan membincangkan pembasmian pembahagian ekonomi di kalangan rakyat dan bangsa di Sarawak.
“PBB perlu mengubah rakyat untuk mencapai ekonomi berpendapatan tinggi sepertimana yang diinspirasikan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud,” katanya. Bemee memberitahu, sumber manusia merupakan elemen asas dalam meningkatkan kapasiti serta menyediakan rakyat dengan pendidikan berkualiti terutamanya dalam prasekolah.
Manakala aspek keselamatan dan keamanan bagi mencapai kadar bebas jenayah dan keselamatan sempadan adalah fokus utama yang dibentangkan dalam isu sosial, katanya.
Sementara taklimat berhubung isu tanah akan disampaikan oleh Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber Mohd Naroden Majais akan diadakan esok, manakala taklimat ekonomi disampaikan oleh Taib.
Taklimat tersebut bertujuan memberitahu dan memberi gambaran kepada para perwakilan terhadap masa depan isu tanah dan ekonomi di Sarawak.
Kira-kira5,000 perwakilan dijangka hadir dalam konvensyen tersebut yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 2 Mac ini.
1 comment:
Salam bro, tahniah PBB dapat menganjurkan Konvensyen pada 2 Mac ini.....
Macam Konvensyen UMNO Pahang juga, semua kepimpinan akar umbi hadir untuk berbincang memperkasakan parti untuk berkhidmat kepada rakyat secara telus..... InsyaAllah ianya akan berjaya mencapai matlamatnya....
Post a Comment