AWANG menyertai pelbagai pihak dan rakyat Malaysia daripada semua kaum dan agama, mengutuk kejadian tiga gereja dilempar bom api. Dalam kejadian terbaru ini, biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil apa sahaja langkah bagi menjamin keselamatan serta ketenteraman awam.
Janganlah membuat rumusan terlalu awal selagi polis belum selesai menjalankan penyiasatan. Sebarang tanggapan liar sebagaimana dalam laman web dan blog, mengaitkan mana-mana pihak pada peringkat ini, hanya akan memburukkan keadaan.
Mungkin perbuatan membakar gereja dilakukan oleh individu atau kumpulan pelampau Islam yang marah dengan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Majalah Herald The Catholic Weekly. Sekiranya benar sekalipun, itu tidak mencerminkan sikap majoriti umat Islam negara ini yang mendokong kuat keharmonian. Selama ini pun, umat Islam yang merupakan majoriti penduduk Malaysia bukan sahaja bermurah hati dan banyak bertolak ansur malah menjadi pelindung terbaik kepada kelompok minoriti. Tetapi bagaimana pula jika ada pihak lain yang cuba menangguk di air keruh - menjadi dalang – yang kemungkinan itu tidak boleh ditolak mentah-mentah. Motifnya adalah untuk memburukkan lagi keadaan selain menjejaskan imej Islam. Segala-galanya berkemungkinan. Awang percaya golongan yang mahu mengambil kesempatan ini ada di dalam negara selain terdapat anasir luar yang tidak pernah putus asa untuk mensabotaj kita.
Awang juga membantah keras kecenderungan pihak-pihak tertentu mengaitkan apa yang berlaku dengan sentimen bantahan menerusi demonstrasi aman umat Islam di seluruh negara.
Demonstrasi aman yang kebanyakannya diadakan di dalam kawasan masjid, berlangsung dalam keadaan terkawal dan penuh bertanggungjawab. Apakah umat Islam tidak boleh memberikan reaksi kepada isu yang begitu kritikal bagi sesuatu yang dianggap suci mengikut agama mereka?
Pada Awang, reaksi sedemikian adalah sesuatu yang lumrah. Kalau ada rumah ibadat haram yang dirobohkan oleh pihak berkuasa biarpun setelah lama diberikan notis dan mendapat kebenaran mahkamah, juga boleh mengundang bantahan luar biasa, inikan pula isu lebih besar melibatkan Islam sebagai agama rasmi dalam Perlembagaan negara.
Malah gelombang bantahan itu, pada Awang, belum besar dan sampai ke tahap memuncak kerana majoriti umat Islam masih boleh bersabar dan mengikuti nasihat Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak serta kerajaan.
Maka ingatan Awang janganlah pandai menuding jari kepada orang Islam semata-mata atau mana-mana pihak tertentu.
Lihatlah punca sebenar. Kenapa sekarang kalimah Allah hendak digunakan di Semenanjung Malaysia? Jika tiada permohonan di mahkamah bagi agama lain menggunakan kalimah Allah maka tidak akan tercetus ketegangan.
Jika mahu juga menuding jari, kita semua boleh berbuat demikian kepada banyak pihak. Salah satunya, Awang ingin menarik perhatian kepada aduan polis oleh Perkasa terhadap Malaysiakini yang menyiarkan komen, yang menghina agama Islam berhubung isu tersebut. Menurut Perkasa, tindakan portal berita terbabit menyiarkan komen pembaca yang mencetuskan kemarahan umat Islam umpama mencurah minyak ke dalam api.
Ada beberapa lagi blog dan portal berita pro pembangkang termasuk Malaysian Insider dikatakan memainkan sentimen berbahaya dalam isu yang sama. Kelmarin, Najib menegur Malaysian Insider kerana ghairah mengaitkan UMNO cuba membakar sentimen negatif umat Islam.
Awang tidak kisah kalau Malaysiakini dan Malaysian Insider taksub dengan aspirasi pembangkang atau mungkin anti kepada kaum tertentu seperti mana persepsi ramai. Tetapi mereka harus lebih bertanggungjawab dalam soal keamanan negara.
Apa pun dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh agama lain, penyelesaiannya bukanlah di mahkamah, yang hanya memberi maksud undang-undang dan tidak terikat kepada menjaga sensitivi agama, sejarah dan sentimen. Apakah mahkamah akan dipertanggungjawabkan jika berlaku rusuhan agama yang buruk sehingga mengorbankan banyak nyawa?
Pada masa yang sama, isu tersebut akan dipolitikkan yang akibatnya boleh membawa mudarat besar kepada rakyat dan negara.
Dalam konteks Perlembagaan Malaysia, Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja wajar menentukan apa sahaja berkaitan mengenai Islam. Sebagai pelindung kepada Islam berdasarkan perlembagaan, isu penggunaan kalimah Allah juga perlu diputuskan di bawah bidang kuasa kesemua Duli Yang Maha Mulia Raja dan Sultan kita. Atas naungan baginda sekelian selama ini, kepentingan Islam terus terpelihara dan hak agama lain terjamin. Akhir sekali, Awang ingin menarik perhatian kepada titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin kelmarin agar semua pihak sentiasa menghormati kesucian ajaran dan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia. Sesungguhnya itulah asasnya. Daulat Tuanku.
No comments:
Post a Comment