Sunday, January 31, 2010

Thursday, January 28, 2010

Dr. M: Pakatan tidak akan kekal

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Gabungan pakatan pembangkang merupakan marriage of convenience (perkahwinan mutaah) yang tidak akan kekal lama, demikian bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengulanginya hari ini.

"Tidak ada apa-apa persamaan antara Pas, DAP dan PKR. Ia hanya marriage of convenience dan ia tidak kekal lama," katanya kepada pemberita selepas melawat I-City di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pergesaran antara Ahli Parlimen Kulim Zulkifli Noordin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dari PAS.

Mengenai isu dakwaan menghina Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, oleh seorang penulis blog baru-baru ini, Dr Mahathir, yang juga seorang penulis blog, berkata penulis blog tidak wajar menyatakan sesuatu yang tidak membawa manfaat kepada sesiapa pun.

"Kenapa guna blog untuk mencerca orang dan membuat tuduhan yang anda tidak dapat pertahankan? Saya ada banyak artikel dalam blog saya berbanding penulis blog lain. Saya tidak fikir mereka akan menahan saya setakat ini," katanya dengan nada gurau. - BERNAMA

Zaid Pertikaikan Keputusan MPT PKR terhadap Zulkifli Nordin....

PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim hari ini mengkritik keputusan Biro Politik parti itu kerana tidak tegas mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Kulim Bandar-Baharu, Zulkifli Noordin.

Malah menurut beliau, PKR juga dilihat takut untuk bertindak terhadap Zulkifli walaupun telah melakukan pelbagai perkara yang didakwa mahu menghancurkan parti itu dari dalam.


"Hairan juga keadaan ini, seolah-olah Zulkifli adalah seorang manusia yang tidak boleh disentuh oleh parti, entah mengapa ada keistimewaan itu.

"Ada pihak amat takut untuk mengambil tindakan terhadap Zulkifli walaupun jelas tindakannya yang mahu menghancurkan parti dari dalam mungkin kerana bimbang dengan persepsi bahawa orang Melayu dan Islam sayang kapadanya," katanya yang dipetik dalam blognya myzaidibrahim.wordpress.com.

Semalam, Biro Politik PKR memutuskan supaya Zulkifli dirujuk kepada lembaga disiplin parti kerana bertindak memfailkan laporan polis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berhubung dakwaan menghina Islam.

Selain itu, Zulkifli juga diarah 'tutup mulut' dan tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan media berhubung kesnya itu yang disiasat dalam tempoh satu bulan.

Melalui entri terbarunya hari ini, Zaid mendakwa PKR sebagai sebuah parti yang tidak mampu untuk mempertahankan prinsipnya kerana gagal menangani segera kes berkaitan Zulkifli.

Selain itu beliau juga berkata, tindak-tanduk parti itu kini tidak jauh bezanya dengan Umno.

"Saya yakin PKR tidak mampu mempertahankan sesuatu prinsip utama dalam perjuangannya.

"PKR hari ini tak jauh bezanya dengan Umno, cuma ia hanya seperti acuan atau a poor man's version of Umno," katanya.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga berkata, beliau tidak yakin PKR akan mengambil keputusan tegas terhadap Zulkifli walaupun diberi masa selama sebulan untuk membuat siasatan.

"Sebenarnya ramai orang merasakan PKR tidak serius untuk mengambil tindakan malah ada yang mengagak tidak akan ada satu keputusan yang tegas akan diambil dalam tempoh tersebut.

"Sementara itu Zulkifli setiap minit akan terus menghina pendirian Pakatan Rakyat dalam televisyen Umno dan surat khabar Umno dan tidak akan peduli arahan parti, sama seperti yang telah dia lakukan pada masa-masa yang lepas," katanya.

Zaid juga mendakwa PKR tidak yakin dalam menetapkan pendirian berhubung isu kalimah Allah.

"Bagi saya kalau kita tidak yakin dengan pendirian kita dalam soal penggunaan perkataaan Allah ini dan isu lain yang dibawa oleh Zulkifli, ikut saja Umno dan Zulkifli.

"Tapi kalau kita yakin, kalau kita berpegang kapada prinsip dalam Perlembagaan Persekutuan dan pendapat alim ulama maka kita mesti teruskan dengan pendirian kita.

"Sampai bila kita mahu berpolitik dua alam... di sana kita berpegang kepada satu prinsip, di sini kita bertukar kepada prinsip lain pula," katanya.

Dalam pada itu, Zaid juga menggesa supaya Zulkifli digantung keahlian sementara menunggu siasatan selesai.

"Sebab itu kita sepatutnya gantung Zulkifli sementara menunggu siasatan selesai kerana kesalahannya jelas dan berterusan bagi mereka yang dapat dan mahu melihat.

"Kita perlu berlaku adil kapada dia, tetapi kita juga perlu berlaku adil kapada ratusan ribu ahli parti yang mengharapkan pembelaan dalam mempertahankan prinsip perjuangan parti dan Pakatan Rakyat," katanya.

Melalui tulisannya itu, Zaid juga berkata beliau sedia menerima sebarang tindakan disiplin termasuk dipecat kerana mengkritik keputusan parti.

"Dalam memperkatakan semua ini saya mungkin dipecat oleh parti kerana saya tidak ada kekebalan seperti sesetengah pemimpin PKR.

Menurutnya, beliau akan terus menyuarakan perjuangan politik yang sihat dan bermaruah untuk kebaikan PKR dan Pakatan Rakyat.

"Kita tidak mampu menjadi parti yang akan membawa perubahan kapada politik dan pentadbiran negara kalau Zulkifli Nordin pun kita tidak boleh selesai dengan cara yang sepatutnya," katanya.

Zaid merupakan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri yang meletakkan jawatannya kerana tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA).

Beberapa bulan selepas beliau dipecat oleh Umno kerana menyertai program pakatan pembangkang, Zaid mengumumkan keputusannya untuk menyertai PKR.

Malah beliau dilihat sebagai salah seorang pemimpin yang berpotensi untuk mengantikan Anwar sekiranya ketua umum PKR itu disabitkan dalam kes sodominya yang akan memulakan perbicaraan Selasa depan.

Namun di dalam PKR pun Zaid mencetuskan kontroversi demi kontroversi. Beliau telah memohon cuti politik selama beberapa bulan setelah hasratnya untuk ke Sabah bagi menyertai beberapa program di sana selepas hari raya tahun lalu telah disekat oleh Anwar.

sumber - mstar

Monday, January 25, 2010

Kementerian baru akan dibentuk??

PUTRAJAYA Jan 18 - Ura-ura rombakan kabinet terus menjadi bahan mulut di serambi kuasa di Putrajaya.


Selain-lain ura-ura biasa tentang beberapa Menteri dan Timbalan Menteri yang akan digugurkan kerana prestasi yang rendah, turut diperkatakan adalah sebuah Kementeriaan baru akan dibentuk.

Ketika ditanya wartawan selepas di Majlis Perasmian Sekolah Was-wasan semalam, Timbalan Perdaan Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menafikan atau mengesahkan desas desus itu.

Katanya, ia ada berbincang dengan Perdana Menteri tetapi ini semua terpulang kepada budi bicara Perdana Menteri.

Menurut Muhyiddin, pembentukan dan pembubaran sesebuah Kementerian adalah suatu perkara biasa kerana keanggotaan dan struktur kabinet perlu berubah-ubah mengikut keperluan semasa.

Sumber memberitahu Kementeriaan Dalam Negeri (KDN) perlu dipecahkan balik menjadi dua. Semasa pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi, KDN telah dipecahkan kepada Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri tetapi disatukan kembali selepas Pilihanraya Umum ke 12.

GAMBAR: Hishamuddin memberi amaran dalam ucapan pembukaan mesyuarat Pemuda UMNO di Perhimpunan Agung UMNO 2006

Menurut sumber, keperluan kini memerlukan Kementeriaan Amaran Dalam Negeri (KADN) khusus untuk mengeluarkan amaran-amaran kepada ahli politik pembangkang dari terus menyuarakan kata-kata dan kenyataan yang menyalahi undang-undang hasutan.

Masaalah kini timbul kerana ahli-ahli politik pembangkang tidak langsung mengambil endah amaran yang dikeluarkan dan masih terus mengeluarkan kata-kata menghasut. Manakala itu, tiada pula tindakan diambil.

Dipercayai fungsi memberi amaran dan mengambil tindakan perlu diasingkan untuk memelihara kewibawaan KDN.

Selain itu, peranan KADN adalah masuk campur dalam urusan polis hingga susah untuk menjaga keselamatan dalam negeri dan pengundi Cina, India, dan penganut Kristian ditatang bagai minyak yang penuh hingga naik kepala.

Desas desus mengatakan tiada pertambahan Menteri kerana Kementeriaan baru tersebut akan diketuai oleh Dato Hishamuddin Hussein Onn. Tiada nama yang disebut untuk mengisi jawatan Menteri Dalam Negeri tetapi dijangka akan dipegang oleh Perdana Menteri atai Timbalan perdana Menteri.

Kekosongan masih belum ada untuk Khairy jadi Menteri. Bakat Menteri dari Sarawak masih ramai lagi. - Agensi Husin Lempoyang

Politik pembangkang pecahkan perpaduan rakyat - Taib

PANTU, Selasa (19 Jan) – Pemimpin parti pembangkang hanya tahu menyemai sikap benci dikalangan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) menerusi ideologi politik yang dibawa oleh mereka selama ini.


Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud berkata para pemimpin pembangkang ini hanya tahu mengapi-apikan sifat kebencian rakyat terhadap kerajaan disebalik merangka pelbagai cadangan pembangunan untuk kebaikan rakyat dalam negeri ini.

“Itulah politik pihak pembangkang. Saya tidak suka bercakap politik secara tidak tentu pasal berbanding dengan golongan (pembangkang) terbabit sehingga merugikan rakyat kita sendiri.

“Justeru saya berharap agar semua rakyat faham jenis politik yang dibawa oleh golongan terbabit selepas ini,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Jambatan Strap dalam daerah kecil Pantu, Sri Aman hari ini.

Selain itu beliau juga mahu mewujudkan kegiatan ekonomi yang tertumpu pada satu kawasan demi membolehkan rakyat mengambil peluang untuk mempertingkatkan taraf hidup menerusi kegiatan ekonomi masing-masing selepas ini.

Dengan adanya langkah ini kata Taib corak pemikiran penduduk akan dapat diubah berhubung perolehan faedah ekonomi secara maksimum berbanding perolehan ekonomi secara minimum sebelum ini.

“Dahulu penduduk tinggal berselerak dengan melaksanakan kegiatan ekonomi masing-masing. Jika kita dapat menghimpunkan mereka dalam satu kawasan untuk tujuan itu (ekonomi) maka mereka akan belajar daripada peniaga yang lain tentang langkah mengubah taraf hidup masing-masing menerusi kegiatan ekonomi selepas itu,” katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan, Dato Sri Michael Manyin anak Jaong, Menteri Kemajuan Tanah, Dato Sri Dr James Jemut Masing, ADUN Balai Ringin, Snowdan Lawan, para menteri muda, ahli parlimen, ketua kaum dan penduduk dalam kawasan Pantu.

Terdahulu kerajaan telah membina Jambatan Batang Strap, Pantu sepanjang 182.4 meter yang menelan kos pembinaan sebanyak RM20.4 juta yang bakal menghubungkan penduduk dari 23 rumah panjang dan juga empat buah sekolah dari kawasan Sungai Batang Strap dengan Pekan Pantu, Sri Aman.

Syarikat PPES Work (Sarawak) Sendirian Berhad telah diberikan kontrak untuk melaksanakan projek pembinaan Jambatan Batang Strap yang mula dibina pada 9 November tahun lepas dan dijangka siap pada 1 Februari tahun hadapan

Tamat.
http://sriamannews.blogspot.com/

Zulkifli Noordin Buat Laporan Polis Terhadap Khalid Samad

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Hubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS dikusutkan lagi ekoran tindakan Zulkifli Noordin daripada PKR membuat laporan polis terhadap Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad daripada PAS.


Zulkifli yang juga Anggota Parlimen Kulim Bandar Baru berkata, laporan polis itu dibuat berhubung kenyatan Khalid yang menyebut enakmen larang kalimah "Allah" ketinggalan zaman.

"Saya dah buat kenyataan dua hari lalu meminta supaya Khalid segera meminta maaf kepada Sultan Selangor dan umat Islam dan menarik balik kenyataan itu tetapi beliau tidak berbuat sedemikian malahan tidak menunjukkan sebarang penyesalan setelah dipanggil menghadap Sultan," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Masjid India di sini hari Sabtu.

Pada 21 Jan lepas, Khalid dalam kenyataannya yang dilaporkan MalaysiaKini menyatakan, enakmen agama Islam yang melarang penggunaan nama Allah dan perkataan-perkataan lain berkaitan Islam sudah ketinggalan zaman dengan alasan pada masa undang-undang itu diluluskan mungkin tahap kefahaman umat Islam terhadap agama Islam begitu lemah sehingga perlu dilindungi.

Kenyatan Khalid itu merujuk kepada Enakmen Ugama Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor 1988.

"Saya percaya kenyataan Khalid adalah berunsur hasutan dan menghina Tuanku Sultan Selangor dan Dewan Undangan Negeri dan umat Islam secara umumnya," kata Zulkifli.

Katanya laporan polis itu dibuat bagi membolehkan Khalid disiasat sama ada mengikut Akta Hasutan, Seksyen 298A Kanun Keseksaan atau Enakmen atau undang-undang berkaitan Islam bagi negeri Selangor.

Menurut Zulkifli, Khalid juga seharusnya tidak lagi berada dalam PAS dan menubuhkan partinya sendiri memandangkan tindakan beliau sejak kebelakangan ini, dilihat sering bertentangan dengan pendirian PAS dan dasar Pakatan Rakyat.

"Berdasarkan rentetan tindak tanduk Khalid saya ingat, lagi baik beliau keluar saja daripada PAS. Pada saya elok dia keluar dari PAS, dan mungkin dia boleh sertai DAP (kalau masih nak berada dalam PR) ataupun buat parti sendiri.

Ditanya sama ada beliau sendiri bersedia sekira PKR bertindak terhadapnya kerana tindakannya hari ini, Zulkifli berkata: "Saya tak akan halang PKR dari mengambil tindakan kalau mereka perlu ambil tindakan."

-- BERNAMA

Thursday, January 21, 2010

TERKINI : EXCO PKR SELANGOR DISERBU SPRM !

ini kabaran terbaru. SPRM telah menyerbu pejabat exco kerajaan negeri selangor yakop sapari di SUK sebentar tadi.

berdasarkan sumber maklumat dalaman pkr di SUK, mereka memberitahu bahawa pegawai khas (PA) yakob sapari telah di soal siasat ekoran dakwaan permit kelulusan pasir dan mendapat tajaan melancong ke china.

mengikut risikan kami, pa yakop sapari telah dibiayai perjalanan melancongnya ke beijing oleh pelombong pasir.

kini sudah diangkut oleh pegawai SPRM dan dibawa ke putrajaya..kita mohon agar yakop sapari dan timbalannya yb suhaimi tidak melatah melompat bangunan..kita juga meminta pekerja-pekerja maintenance di pejabat SUK dan pejabat SPRM putrajaya dengan segera mengunci tingkap-tingkap bangunan untuk mengelakkan kejadian melompat

JASA perlu kukuhkan kestabilan politik : TPM


Muhyiddin Yassin bersalaman dengan pegawai kerajaan sewaktu menghadiri Majlis Perhimpunan Kebangsaan Pegawai Jasa 2010 di Kuala Lumpur, malam tadi.

KUALA LUMPUR 19 Jan. - Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) supaya memberi tumpuan bagi mengukuh dan mengekalkan kestabilan politik bagi membolehkan tercapainya gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha itu salah satu daripada lima isu penting yang harus ditangani bersama bagi mencapai misi jabatan berkenaan iaitu bagi meraih sokongan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Dalam usaha mengekalkan kestabilan politik, tumpuan harus diberi bagi mewujudkan keutuhan ekonomi kerana kedua-dua perkara ini adalah saling berkait.

"Kata pepatah Barat, 'orang yang lapar akan marah' dan dalam sistem demokrasi, kemarahan ini diterjemahkan dalam bentuk undi. Oleh itu, semua rakyat harus merasakan mereka mendapat tempat sewajarnya dalam negara ini.

"Asas kepada kestabilan politik dan keutuhan ekonomi ini ialah perpaduan dan dalam hal ini, kita harus bertukar daripada sekadar toleransi kepada menerima satu sama lain sebagai sebahagian daripada kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Perhimpunan Kebangsaan Pegawai Jasa 2010 yang dihadiri pegawai berbilang kaum di sini malam ini.

Turut hadir Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Ketua Pengarah Jasa, Datuk Fuad Hassan serta kira-kira 1,000 pegawai jabatan itu.

Menurut Muhyiddin, isu kedua membabitkan usaha menjadikan kerajaan BN bukan saja sebagai pembela rakyat malah dilihat membela rakyat.

"Kita akui walaupun kerajaan BN mengambil pelbagai inisiatif dalam tempoh 50 tahun, masih ada lagi kelompok dalam masyarakat yang terpinggir daripada arus pembangunan.

"Peranan Jasa ialah menentukan tiada kelompok tersisih dan ini boleh dicapai jika kita melipatgandakan program yang dapat menyentuh hati rakyat dan memberi impak besar kepada mereka seperti aktiviti pembangunan komuniti," katanya.

Menurut beliau, isu ketiga membabitkan langkah mengekang tindakan pihak pembangkang yang menjadikan kerajaan sebagai sasaran fitnah dan putar-belit.

"Saya mahu pegawai Jasa berperanan mengembalikan semula sokongan rakyat dengan menyebarluaskan maklumat yang tepat, berkualiti dan relevan melalui proses komunikasi bersemuka, konvensional dan media sosial," katanya.

Dalam pada itu katanya, isu keempat membabitkan usaha membolehkan kerajaan BN mengotakan janjinya kepada rakyat supaya dapat dilihat sebagai pemerintah yang berintegriti tinggi.

Tambah beliau, isu kelima membabitkan langkah mendampingi generasi muda yang mempunyai pemikiran yang berbeza apabila mereka kini membicarakan tentang hak asasi manusia serta ketelusan dalam kerajaan.

Golongan muda, katanya, bukan lagi mempersoalkan tentang isu-isu seperti mendapatkan bekalan air dan jalan raya yang sempurna.

"Untuk menghadapi golongan muda, Jasa harus berubah secara menyeluruh ke atas pendekatan bagi membolehkan ia menarik sokongan generasi muda yang bakal menjadi pengundi pada pilihan raya umum akan datang.

"Saya juga mahu Jasa meletakkan sasaran untuk bekerja kuat dalam tempoh dua tahun akan datang bagi memastikan usaha meraih sokongan ini dapat dicapai dengan jayanya," katanya.

Wednesday, January 13, 2010

'Jangan terperangkap, Anwar makin terdesak'

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Umat Islam dan rakyat negara ini diingatkan supaya tidak terperangkap dengan permainan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh gereja Katolik.

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd. Noor (gambar) mendakwa, pendirian semasa Penasihat PKR itu berhubung isu itu disebabkan beliau semakin terdesak dengan tarikh perbicaraan kes tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang semakin hampir.

Dalam masa sama, dakwa beliau, Anwar juga mahu menggunakan isu itu untuk meraih sokongan pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang dijangka tidak lama lagi.

"Saya menyeru umat Islam dan rakyat Malaysia tidak terperangkap dalam permainan politik Anwar yang semakin terdesak.

"Anwar yang terdesak kerana tuduhan meliwat itu akan melakukan apa saja untuk merosakkan keharmonian negara serta mengalihkan perhatian rakyat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 5 Januari lalu, Anwar melalui laman blognya anwaribrahimblog.com menyiarkan kenyataan Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Dr. Muhd. Nur Manuty yang mewakili pendirian parti itu dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.

Menurut kenyataan itu, PKR berpendirian keinginan masyarakat bukan Islam menggunakan kalimah Allah adalah perkembangan positif dan perlu diterima secara terbuka dan tidak perlu pihak tertentu mengambil kesempatan menjadikannya agenda politik untuk menampakkan merekalah jaguh dalam mempertahankan Islam di negara ini.

Sementara itu, Ezam mendakwa agenda jahat Anwar itu boleh dilihat melalui kecaman Penasihat PKR itu terhadap negara Islam yang didakwanya menzalimi kelompok minoriti pada awal Disember 2009 di Australia.

Dakwa Ezam, kecaman Anwar itu disiarkan dalam media Australia termasuk The Age pada 6 Disember lalu.

"Dan hari ini dia bakar sentimen Kristian di Malaysia dalam isu kalimah Allah, Anwar memang pemimpin yang sanggup lakukan apa saja demi kepentingan peribadi.

"Dan kenyataan dia di Australia sebulan sebelum isu penggunaan kalimah Allah di Malaysia meletus memaparkan agenda jahatnya," katanya.

Monday, January 11, 2010

ISA wajar digunakan

PUTRAJAYA 10 Jan. – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bersetuju Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digunakan jika langkah tersebut mampu membendung menularnya perbuatan menyerang gereja dan surau.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, ISA wajar digunakan jika langkah tersebut didapati berkesan dalam mengembalikan semula keamanan dan ketenangan di negara ini.

‘‘Saya berharap dalam keadaan ini kita semua bertenang, jangan membawa perasaan masing-masing sehingga mengakibatkan perkara tidak sihat.

‘‘Negara kita ada undang-undang jadi biarkan undang-undang yang putuskan, jangan sekali-kali kita mengambil dan melaksanakan undang-undang atas dasar peribadi secara persendirian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri majlis penyampaian hadiah pertandingan boling antara jabatan peringkat kementeriannya.

Mohd. Shafie turut menaruh keyakinan pihak berkuasa akan ambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang cuba menganjurkan perkara yang boleh memudaratkan keselamatan negara.

‘‘Saya berharap sebagai umat yang ada peradaban, kesabaran dan keimanan harus berpandukan kepada ajaran Islam yang sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut dua insiden terbaru cubaan membakar berlaku membabitkan Gereja All Saints di Taiping dan Sekolah Menengah Convent, di Ipoh, Perak awal hari ini.

Tiada kerosakan pada gereja yang terletak di Jalan Taming Sari, Taiping itu tetapi hanya kerosakan kecil dilaporkan pada pos pengawal Sekolah Menengah Convent.

Semalam, sebuah surau diserang Kampung Jawa, Kelang sehingga mengakibatkan kerosakan.

Sunday, January 10, 2010

Penyelesaian isu kalimah Allah

AWANG menyertai pelbagai pihak dan rakyat Malaysia daripada semua kaum dan agama, mengutuk kejadian tiga gereja dilempar bom api. Dalam kejadian terbaru ini, biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil apa sahaja langkah bagi menjamin keselamatan serta ketenteraman awam.

Janganlah membuat rumusan terlalu awal selagi polis belum selesai menjalankan penyiasatan. Sebarang tanggapan liar sebagaimana dalam laman web dan blog, mengaitkan mana-mana pihak pada peringkat ini, hanya akan memburukkan keadaan.

Mungkin perbuatan membakar gereja dilakukan oleh individu atau kumpulan pelampau Islam yang marah dengan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Majalah Herald The Catholic Weekly. Sekiranya benar sekalipun, itu tidak mencerminkan sikap majoriti umat Islam negara ini yang mendokong kuat keharmonian. Selama ini pun, umat Islam yang merupakan majoriti penduduk Malaysia bukan sahaja bermurah hati dan banyak bertolak ansur malah menjadi pelindung terbaik kepada kelompok minoriti. Tetapi bagaimana pula jika ada pihak lain yang cuba menangguk di air keruh - menjadi dalang – yang kemungkinan itu tidak boleh ditolak mentah-mentah. Motifnya adalah untuk memburukkan lagi keadaan selain menjejaskan imej Islam. Segala-galanya berkemungkinan. Awang percaya golongan yang mahu mengambil kesempatan ini ada di dalam negara selain terdapat anasir luar yang tidak pernah putus asa untuk mensabotaj kita.

Awang juga membantah keras kecenderungan pihak-pihak tertentu mengaitkan apa yang berlaku dengan sentimen bantahan menerusi demonstrasi aman umat Islam di seluruh negara.

Demonstrasi aman yang kebanyakannya diadakan di dalam kawasan masjid, berlangsung dalam keadaan terkawal dan penuh bertanggungjawab. Apakah umat Islam tidak boleh memberikan reaksi kepada isu yang begitu kritikal bagi sesuatu yang dianggap suci mengikut agama mereka?

Pada Awang, reaksi sedemikian adalah sesuatu yang lumrah. Kalau ada rumah ibadat haram yang dirobohkan oleh pihak berkuasa biarpun setelah lama diberikan notis dan mendapat kebenaran mahkamah, juga boleh mengundang bantahan luar biasa, inikan pula isu lebih besar melibatkan Islam sebagai agama rasmi dalam Perlembagaan negara.

Malah gelombang bantahan itu, pada Awang, belum besar dan sampai ke tahap memuncak kerana majoriti umat Islam masih boleh bersabar dan mengikuti nasihat Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak serta kerajaan.

Maka ingatan Awang janganlah pandai menuding jari kepada orang Islam semata-mata atau mana-mana pihak tertentu.

Lihatlah punca sebenar. Kenapa sekarang kalimah Allah hendak digunakan di Semenanjung Malaysia? Jika tiada permohonan di mahkamah bagi agama lain menggunakan kalimah Allah maka tidak akan tercetus ketegangan.

Jika mahu juga menuding jari, kita semua boleh berbuat demikian kepada banyak pihak. Salah satunya, Awang ingin menarik perhatian kepada aduan polis oleh Perkasa terhadap Malaysiakini yang menyiarkan komen, yang menghina agama Islam berhubung isu tersebut. Menurut Perkasa, tindakan portal berita terbabit menyiarkan komen pembaca yang mencetuskan kemarahan umat Islam umpama mencurah minyak ke dalam api.

Ada beberapa lagi blog dan portal berita pro pembangkang termasuk Malaysian Insider dikatakan memainkan sentimen berbahaya dalam isu yang sama. Kelmarin, Najib menegur Malaysian Insider kerana ghairah mengaitkan UMNO cuba membakar sentimen negatif umat Islam.

Awang tidak kisah kalau Malaysiakini dan Malaysian Insider taksub dengan aspirasi pembangkang atau mungkin anti kepada kaum tertentu seperti mana persepsi ramai. Tetapi mereka harus lebih bertanggungjawab dalam soal keamanan negara.

Apa pun dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh agama lain, penyelesaiannya bukanlah di mahkamah, yang hanya memberi maksud undang-undang dan tidak terikat kepada menjaga sensitivi agama, sejarah dan sentimen. Apakah mahkamah akan dipertanggungjawabkan jika berlaku rusuhan agama yang buruk sehingga mengorbankan banyak nyawa?

Pada masa yang sama, isu tersebut akan dipolitikkan yang akibatnya boleh membawa mudarat besar kepada rakyat dan negara.

Dalam konteks Perlembagaan Malaysia, Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja wajar menentukan apa sahaja berkaitan mengenai Islam. Sebagai pelindung kepada Islam berdasarkan perlembagaan, isu penggunaan kalimah Allah juga perlu diputuskan di bawah bidang kuasa kesemua Duli Yang Maha Mulia Raja dan Sultan kita. Atas naungan baginda sekelian selama ini, kepentingan Islam terus terpelihara dan hak agama lain terjamin. Akhir sekali, Awang ingin menarik perhatian kepada titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin kelmarin agar semua pihak sentiasa menghormati kesucian ajaran dan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia. Sesungguhnya itulah asasnya. Daulat Tuanku.

Semangat 1Malaysia tidak gagal - Najib

HULU SELANGOR 9 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan insiden gereja dilempar bom petrol sehingga ada yang terbakar tidak bermakna semangat 1Malaysia telah menemui kegagalan.

Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO turut mengingatkan supaya tidak ada mana-mana pihak menuding jari kepada parti itu kerana UMNO turut mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan ganas seperti itu.

Malah katanya, UMNO mahu polis mengesan pihak yang melakukan jenayah tersebut dan menghukum mereka mengikut undang-undang negara.

"Kita menegakkan prinsip adil dan saksama kepada semua kaum, sebab itu bila saya mengambil alih tampuk kepimpinan negara saya telah menekankan perkara ini melalui 1Malaysia.

"Jangan disebabkan satu dua gereja terbakar ada yang nak kata ini menafikan 1Malaysia. Ia tidak menafikan semangat 1Malaysia, semangat 1Malaysia akan tetap kita perjuangkan sebagai parti yang berkuasa," katanya.

Beliau berucap demikian sewaktu melancarkan Program Juara Rakyat di Tapak Ekspo Bandar Bukit Sentosa yang dihadiri oleh kira-kira 20,000 rakyat jelata, di sini hari ini.

Pada sidang akhbarnya selepas itu, Perdana Menteri berkata mesyuarat khas Majlis Raja-Raja tidak perlu bersidang buat masa ini untuk membincangkan isu-isu membabitkan orang Islam dan Kristian.

"Setakat ini tidak perlu tapi kita tengok perkembangannya sebab raja-raja faham kedudukan pada masa ini.

"Mereka semua mengharapkan isu ini diselesaikan dengan cara baik melalui lunas undang-undang dan semua pihak perlu saling menghormati satu sama lain," katanya.

Mengenai penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap penjenayah yang melempar bom petrol sehingga menyebabkan kebakaran gereja, Najib berkata apa yang lebih penting ialah mendapatkan bukti terlebih dahulu.

Katanya, negara ini mempunyai undang-undang yang mencukupi untuk menghukum mere

Thursday, January 7, 2010

KLINIK 1MALAYSIA UNTUK RAKYAT


Klinik 1Malaysia hanya kenakan bayaran RM1 sahaja dan dibuka hingga jam 10 malam,kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melancarkan Klinik 1Malaysia pertama di Pantai Dalam Kuala Lumpur pagi Khamis.Sebanyak 44 Klinik 1 Malaysia di seluruh negara sudah beroperasi sejak 1 Januari baru ini.- 7/1/2010

James Dawos ganti tempat Sulaiman : Tahniah...

KUALA LUMPUR, 6 Jan - Anggota Parlimen Mambong, Sarawak, Datuk Dr James Dawos Mamit dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan yang baru menggantikan Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib yang meletak jawatan itu pada 14 Disember lepas.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan di atas pelantikan itu yang dibuat selaras dengan Fasal (1) Perkara 43A Perlembagaan Persekutuan.

"Pelantikan itu berkuat kuasa mulai tarikh Yang Berhormat mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang akan diadakan pada Rabu, 13 Jan jam 3 petang di Istana Terenggganu, Kuala Lumpur," menurut kenyataan itu. - BERNAMA

Rayuan akhir Anwar ditangguh : Bila Lagi Nak Bicara???

PUTRAJAYA 6 Jan. - Mahkamah Persekutuan menangguhkan ke satu tarikh lain rayuan akhir Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendapatkan semua dokumen penting pendakwaan dan contoh spesimen Mohd. Saiful Bukhari Azlan bagi pembelaan kes liwatnya.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria menetapkan demikian bagi memberi peluang kepada pasukan pembelaan Anwar meneliti rekod rayuan dan menyediakan penghujahan.

Beliau bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Md. Raus Sharif dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Terdahulu, peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar berhujah, masa yang mencukupi diperlukan bagi menyediakan hujahan kerana rekod rayuan hanya diterima pada 30 Disember lalu.

Beliau menyatakan, selain itu pihaknya belum memfailkan petisyen rayuan dan mempunyai tempoh sehingga 11 Januari ini untuk berbuat demikian.

"Tarikh rayuan hari ini yang dimaklumkan pada 29 Disember lalu ditetapkan secara tergesa-gesa sedangkan petisyen rayuan belum difailkan. Mustahil bagi kami meneruskan rayuan tanpa petisyen," ujar Karpal.

Bagaimanapun, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden memohon pendengaran rayuan pada tarikh awal kerana isu perundangan yang dibangkitkan melibatkan kepentingan awam dan perbicaraan kes liwat pula akan bermula pada 25 Januari ini.

Karpal pula menyatakan, rayuan itu amat penting dan memberi kesan kepada prosiding mahkamah seluruh negara kerana melibatkan tafsiran terhadap Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

"Hanya kerana perbicaraan akan berjalan pada 25 Januari, tidak bermakna rayuan ini harus dilakukan tergesa-gesa. Kami harus diberi masa mencukupi, sekurang-kurangnya sebulan," kata peguam tersebut.

Pindaan terhadap Seksyen 51A pada 2006 membenarkan pendakwaan mendedahkan bukti kes secara automatik sebelum perbicaraan.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 6 November tahun lalu memutuskan seksyen itu jelas menyatakan bahawa hanya dokumen tertentu yang boleh diperoleh dan diperiksa oleh pembelaan sebelum prosiding dimulakan.

Sehubungan itu, panel tiga hakim diketuai Datuk Hasan Lah sebulat suara membenarkan rayuan pendakwa raya dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengarahkannya membekalkan dokumen penting kepada Anwar.

Mahkamah Rayuan turut menolak rayuan balas pemimpin pembangkang itu supaya dia diberikan spesimen asid deoksiribonukleik (DNA) yang telah diuji milik Mohd. Saiful Bukhari, 24, yang juga pengadu kes.

Dokumen penting yang gagal diperoleh termasuk rakaman percakapan Mohd. Saiful Bukhari, Dr. Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi, pemilik kondominium, Hassanuddin Abdul Hamid, laporan perubatan pakar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Pusrawi serta laporan kimia.

Ia juga melibatkan senarai saksi pendakwaan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari pondok pengawal di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara serta kawasan lif Blok 11 kondominium itu di antara 25 Jun dan 27 Jun 2008.

Pemimpin pembangkang itu menghadapi tuduhan meliwat mangsa di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di ibu negara di antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.