PUTRAJAYA, 13 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata gagasan 1Malaysia merupakan suatu harapan agar semua rakyat mempunyai perasaan tidak berbelah bahagi terhadap Malaysia.
"Kalau kita dapat merasakan perasaan itu, maka maknanya kita dah sampai pada penghayatan konsep 1Malaysia. Saya selalu sebut 'Satu Impian, Satu Bangsa, Satu Negara'," kata Perdana Menteri dalam satu wawancara eksklusif dengan Bernama di pejabatnya di sini.
Walaupun konsep itu masih baru, Najib berkata beliau dapat merasakan sambutannya semakin menggalakkan dan orang ramai kini kerap mengucapkan "Salam 1Malaysia". Najib menyifatkan konsep 1Malayia yang diperkenalkan enam bulan lalu selepas beliau menjadi Perdana Menteri, sebagai satu perjalanan untuk rakyat pelbagai kaum Malaysia ke arah membina bangsa Malaysia. Kemenangan besar Barisan Nasional pada pilihan raya kecil Bagan Pinang pada Ahad lepas juga bukti sokongan penerimaan 1Malaysia oleh rakyat, katanya.
Sambil mengakui masih ada golongan yang bimbang dan kurang selesa, Perdana Menteri menegaskan bahawa melalui konsep 1Malaysia, kerajaan cuba berlaku adil kepada setiap kaum dan bukannya mengambil hak mana-mana pihak.
"Itu merupakan lumrah reaksi manusia tapi saya lihat pada umumnya sebahagian besar rakyat sudah pun menerima konsep 1Malaysia," kata Najib.
Perdana Menteri berkata semua kaum mempunyai keperluan asas yang sama dalam kehidupan harian seperti perumahan, perubatan, pengangkutan, makanan dan pendidikan.
"Semua ini boleh dikatakan tidak ada beza, kalau orang Melayu, Cina, India pun sama, masing-masing berkehendakkan kerajaan dapat memenuhi keperluan asas mereka dan selanjutnya mereka juga mahu kerajaan yang boleh memberi mereka harapan berdasarkan kemampuan mereka," kata Najib.
Oleh itu, perlu ada satu sistem untuk membolehkan setiap warganegara dapat mencapai tahap maksimum mereka sendiri, kata Perdana Menteri.
Najib membidas usaha pembangkang yang cuba memperlekehkan konsep itu, termasuk cuba menghasut orang Islam supaya tidak harus menerima 1Malaysia.
"Dia akan kata dia yang betul, kita yang salah. Terpulanglah kepada kita untuk katakan mengapa 1Malaysia memang satu kehendak Islam. Kalau kita berdasarkan kepada Surah Al Maidah, ayat kelapan... baca ayat kelapan, apa Tuhan perintah kepada kita," katanya.
Ayat berkenaan menyebut: "Hendaklah kamu menegakkan kebenaran kerana Allah, menjadi saksi dengan adil dan janganlah kerana kebencian mu pada suatu kaum menjerumuskan mu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada takwa dan takutlah kepada Allah." - BERNAMA
No comments:
Post a Comment