Thursday, September 10, 2009

Isu perlantikan Idris Jala sebagai menteri oleh PAS

ISU KRITIKAN PEMIMPIN PAS TERHADAP PERLANTIKAN IDRIS JALA

Sudah pasti ramai pemimpin kaum Dayak dan penduduknya di negeri ini terkejut apabila Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS) iaitu Datuk Seri Hadi Awang pada 11 Julai lalu menyatakan bahawa orang Dayak masih ‘memakai cawat’ dan tidak reti undi.

Gara-gara kekalahan Parti KeAdilan Rakyat (PKR) di tangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai 7 April lalu, Hadi Awang ternyata berasa ‘panas hati’ sehingga mengeluarkan komen yang telah menimbulkan kemarahan terhadap majoriti kaum Dayak dalam negeri ini.

Walaupun terdapat sebilangan kecil orang Dayak di sini yang menerima secara positif komen pemimpin ‘mulia’ PAS berkenaan, namun mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan sentimen perkauman dan agama secara tidak langsung boleh memburukkan lagi situasi politik dalam negara ini.

Itu cerita hampir dua bulan yang lalu. Namun sekarang timbul pula cerita baru apabila pihak pembangkang PAS pada Isnin lalu mengeluarkan kenyataan yang menghina kebolehan kaum Orang Ulu di negeri ini dalam memegang portfolia menteri dalam kabinet kerajaan persekutuan.

Mereka iaitu Timbalan Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Sallehuddin Ayub menyatakan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan kesilapan kerana melantik Datuk Seri Idris Jala sebagai menteri tanpa portfolio di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu) baru-baru ini.

Idris, anak jati kelahiran Orang Ulu (Kelabit) Sarawak cukup disanjungi kebolehannya sebelum ini setelah berjaya menyelesaikan kemelut kewangan syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) hanya dalam tempoh dua tahun apabila dilantik sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat terbabit pada tahun 2005 dahulu.

Kepintaran dan kebolehan beliau untuk menyelesaikan masalah kronik syarikat berkenaan sekaligus menunjukkan bahawa orang Sarawak khususnya Orang Ulu berkelayakkan untuk mentadbir dan mengurus hal ehwal nasional termasuk politik, ekonomi dan sosial selama ini.

Justeru adakah terdapat sebarang alasan munasabah bagi kedua-dua pemimpin PAS mengeluarkan kenyataan seumpama itu selama ini? Jawapan tersiratnya amat mudah diketahui iaitu pihak pembangkang di Semenanjung Malaysia sebenarnya memandang rendah terhadap keupayaan tadbir politik, ekonomi, sosial orang Sarawak.

PAS sememangnya sudah mula membuka ‘pekung di dada’ dan memdedahkan kelemahan dalam jentera Pakatan Rakyat (PR) yang turut disertai oleh dua rakan partinya yang lain iaitu PKR dan Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Jika menganggap hanya PAS yang terlebih dahulu memandang rendah terhadap kebolehan tadbir politik, ekonomi dan sosial orang Sarawak maka anda tersilap kerana ‘geng’ pakatannya iaitu PKR itu sendiri pernah bertindak demikian terhadap orang Bumi Kenyalang sebelum ini.

Bagi mereka yang rajin melayari internet mungkin sudah sedia maklum bahawa ketua PKR di negeri ini bukan dilantik dari kalangan anak jati Sarawak itu sendiri sebaliknya adalah seorang Naib Presiden PKR yang berasal dari negeri Perak iaitu Mustafa Kamil Ayub.

Jika begitu hendaknya Mustafa dilantik sebagai ketua PKR Sarawak berkuatkuasa 3 Jun lalu jadi bagaimana pula gerangan halnya yang terjadi terhadap pemimpin PKR negeri seperti Dominique Ng, Jawah Gerang, Jimmy Donald, Datuk Hafsah Harun, Wan Zainal bin Wan Sanusi dan Baharuddin Moksen?

Adakah salah seorang daripada mereka ini tidak layak menjadi pemimpin PKR Sarawak? Atau mungkin pemimpin de facto mereka iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan lain-lain barisan pemimpin pembangkang dari Semenanjung Malaysia seperti Awang Hadi sememangnya tidak menyakini kebolehan tadbir dikalangan orang Sarawak.

Dengan kata lain barisan pemimpin pembangkang yang terdiri daripada golongan anak watan dalam negeri ini sememangnya berasa dilemma berhubung isu terbabit. Mereka sedar akan perkara ini namun tidak berani bersuara di hadapan penyokong setia masing-masing kerana khuatir termakan ‘ludah’ diri sendiri.

Mengapa perlu disokong parti politik yang nyata telah menghina dan memandang rendah keupayaaan orang kita selama ini? Jangankan ketua PKR Sarawak adalah ‘orang seberang’ apatah lagi kita ini dianggap tidak reti undi dan tidak layak menduduki jawatan menteri di kabinet persekutuan.

Pemilihan Idris Jala sebagai menteri oleh Najib adalah tindakan yang wajar memandangkan beliau telah berjaya menunjukkan kebolehan ketika memulihkan kemelut kewangan syarikat nasional sebelum ini.

Lagipun pemilihan beliau (Idris) bukan kerana disebabkan faktor politik semata-mata. Ini pihak PAS perlu tahu. Oleh itu daripada hanya tahu mengutuk tindakan kerajaan pusat berhubung isu ini maka adalah baik bagi mereka untuk menjaga dan mengurus hal ehwal negeri yang mereka tadbir.

Penduduk Bahagian Sri Aman khasnya perlu mengambil ikthibar berhubung isu ini memandangkan DAP, PKR dan PAS bakal meletakkan calon masing-masing seperti di kawasan DUN Simanggang, DUN Lingga, DUN Batang Ai, DUN Engkilili, DUN Bukit Begunan, DUN Balai Ringin, kawasan Parlimen Sri Aman, Batang Lupar dan Lubok Antu menjelang pilihan raya akan datang.

Tunjukkanlah tanda protes diri masing-masing berhubung isu terbabit selepas ini. Jika anda boleh memprotes kerajaan BN menerusi undi pada pilihan raya lalu maka anda juga boleh memprotes pihak pakatan pembangkang menerusi undi pada pilihan raya akan datang.

Tidak perlu berdemonstrasi dan tidak perlu merusuh kiri kanan. Pilihan raya boleh dijadikan sebagai platform untuk menyampaikan rasa tidak puashati masing-masing kepada PR berhubung isu ini.

Tiada halangan untuk penduduk di sini mengundi pembangkang memandangkan Malaysia adalah merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Namun jika berdasarkan isu terbabit maka adalah lebih baik jika penduduk Sarawak terus bernaung di bawah kerajaan yang sedia ada pada masa sekarang.

Lagipun tindakan Najib memilih Idris Jala sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menunjukkan bahawa amalan 1Malaysia sememangnya telah dipupuk oleh kerajaan BN dan bukan hanya sekadar cakap kosong. Tepuk dada tanya selera.
SUMBER : sriamannews blogspot.com

1 comment:

YANG GAMBI said...

Salam, PAS ni lebih suka kalau lantik Ronnie dan Ele....... baru dia orang sentap puas hati.... tiada siapa yang bagus selain Mahfuz pakar membuat fitnah PAS.....