Sunday, August 16, 2009

PEMBANGKANG JANGAN TAKUT DENGAN SPRM JIKA TIDAK BERSALAH

Parti-parti pembangkang yang mahu masalah rasuah di negara ini ditangani dengan lebih serius seharusnya tidak perlu takut dengan langkah-langkah pencegahan dan siasatan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata SPRM merupakan sebuah badan yang bebas serta ia tidak pernah memihak kepada mana-mana parti politik selain mempunyai peraturan dan syarat tertentu dalam melakukan sesuatu siasatan.

"DAP (pembangkang) sendiri yang mahu rasuah dibanteras, ramai juga ahli politik lain termasuk dari BN (Barisan Nasional) yang disiasat, tapi bila mereka sendiri (pembangkang) tidak boleh, apa masalahnya, takutkah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Mahkamah Kuching di sini hari ini.

Beliau mengulas insiden di Pusat Perkhidmatan DAP Sungai Pelek semalam bila sekumpulan pegawai SPRM cuba menahan Pembantu Khas seorang exco Selangor, Wong Chuan How, berhubung pemberian projek melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pelek.

Berikutan kejadian tersebut Wong masih menerima rawatan di Hospital Serdang, dekat sini, selepas dikatakan terjatuh ketika bergelut dengan pegawai SPRM.

Pembangkang, katanya, juga mahu menjatuhkan moral pegawai SPRM dengan pelbagai desakan termasuk kepada Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mohd Shukri Abdull agar melepaskan jawatannya.

"Tidak bagi saya, jangan jatuhkan moral pegawai SPRM, saya berharap beliau (Shukri) tidak berputus asa dan meneruskan tanggungjawab yang telah diberikan," katanya.

Berhubung permintaan untuk mewujudkan dua bentuk siasatan dalam SPRM iaitu untuk anggota politik dan rakyat, Mohamed Nazri berkata undang-undang negara ini adalah untuk seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang mereka.

"Kerajaan tidak berhajat untuk wujudkan dua peraturan iaitu untuk politik dan untuk rakyat, bagi saya ahli politik yang telah dipilih rakyat seharusnya lebih bertanggungjawab, saya tidak setuju ada dua peraturan berbeza seperti ini," katanya.

Sementara itu, Mohamed Nazri berkata kerajaan telahpun meluluskan peruntukan sebanyak RM69 juta untuk membangunkan e-Mahkamah di semua mahkamah-mahkamah utama di Semenanjung dan ketika ini hanya Sarawak dan Sabah yang menggunakan kemudahan tersebut selain Mahkamah Persekutuan di Kuala Lumpur dan Mahkamah Shah Alam.

No comments: