Friday, January 9, 2009

Jangan seleweng subsidi baja


GEORGE Chan Hong Nam (dua dari kiri) menyampaikan baja Ammophos kepada Ketua Kampung Mundai, Pedawan, Joseph Kuneh Ngambid (kiri) di Dewan Masyarakat Siburan di Kuching, semalam.
KUCHING 8 Jan. - Petani padi bukit di negeri ini yang menerima subsidi baja daripada kerajaan diingatkan supaya tidak menyalahgunakan bantuan itu, sebaliknya digunakan untuk meningkatkan hasil pengeluaran masing-masing.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam berkata, tujuan kerajaan memberikan subsidi seumpama itu adalah bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh petani berikutan kenaikan harga baja berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Permodenan Pertanian Sarawak berkata, ada sesuatu yang tidak kena jika mereka yang menerima bantuan subsidi baja namun hasil pengeluarannya masih berada pada tahap lama.

''Jangan gunakan baja ini untuk tujuan lain kerana hasrat Kerajaan Persekutuan memberi bantuan seumpama itu adalah khas untuk meningkatkan hasil padi bukit.

''Pada akhir musim padi nanti kita akan membuat penilaian sama ada bantuan yang disampaikan ini dapat meningkatkan hasil padi bukit kita," katanya pada majlis Pengagihan Baja Ammophos kepada penanam padi bukit di kawasan Siburan dekat sini hari ini.

Pada tahun lalu, kos input pertanian telah naik secara mendadak akibat kenaikan harga minyak termasuk harga baja Ammophos telah naik daripada RM35.55 bagi beg 25 kilogram pada tahun 2007 kepada RM213.83 pada awal tahun 2008 dan penghujung tahun lalu, ia telah turun sedikit iaitu RM165.

Hong Nam berkata, prihatin dengan masalah yang dialami petani, kementeriannya telah membuat permohonan kepada Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan peruntukan khas bagi membantu golongan tersebut pada pertengahan tahun lalu.

Katanya, Kerajaan Pusat telah bersetuju untuk memberi peruntukan berjumlah RM14.65 juta bagi membantu penanam padi bukit di Sarawak di bawah program Jaminan Bekalan Makanan pada akhir tahun lalu.

Tambahnya, dengan peruntukan sebanyak RM14.65 juta itu, semua penanam padi bukit yang berdaftar dengan Jabatan Pertanian Sarawak layak untuk menerima satu beg baja Ammophos seberat 25 kilogram secara percuma.

''Bagi petani yang menanam lebih daripada satu hektar padi bukit pula, mereka layak untuk mendapat dua beg baja tersebut.

''Saya difahamkan di kawasan Siburan terdapat 2,017 petani yang menanam kira-kira 1,972 hektar padi bukit pada tahun lalu dan saya menyeru kepada mereka untuk menggunakan baja Ammophos dalam usaha meningkatkan hasil pengeluaran," ujarnya

No comments: