Tuesday, January 13, 2009

Bandar Sri Aman dilanda banjir semula
















1.BANJIR LAGI...Para peniga sedang berusaha membuang air yang memasuki kawasan kaki lima deretan kedai masing-masing setelah kawasan persimpangan lampu isyarat jalan di bandar ini ditenggelami air setinggi satu kaki setengah malam tadi.

SRI AMAN, Selasa (13 Jan) – Bandar Sri Aman sekali lagi dilanda banjir bermula jam 6.45 malam tadi yang kali ini dianggap lebih teruk berbanding dengan kejadian banjir yang berlaku pada hari Isnin lalu.

Utusan Sarawak yang bergegas ke tempat kejadian banjir mendapati bahawa paras air banjir di kawasan lampu isyarat di tengah bandar ini telah mencecah paras satu kaki setengah.

Begitu juga dengan beberapa batang jalan utama dalam pusat bandar ini yang juga turut dinaiki air banjir dengan paras mencecah setengah kaki hingga ke paras satu kaki hasil tinjauan kakitangan Utusan Sarawak.

Antara jalan dalam bandar Sri Aman yang dinaiki air menerusi kejadian banjir yang berlaku lewat petang kelmarin ialah Jalan Kapitan, Jalan Tengah, Jalan Kecil dan Jalan Kelab.

Selain itu Utusan Sarawak juga turut mendapati bahawa terdapat beberapa buah rumah di kawasan Kampung Hulu dinaiki air banjir setinggi satu kaki sehingga air dari kawasan terbabit melimpah ke laluan jalan raya yang berdekatan.

Walaupun banjir kali ini dianggap lebih teruk berbanding kejadian yang sama pada hari Isnin lalu, para peniaga di kawasan bandar ini telah pun mengambil langkah awal dengan menutup laluan kaki lima di deretan kedai masing-masing demi mengelakkan kedai mereka dari dimasuki air.

Manakala selebihnya para peniaga pula bertindak secara sukarela dengan membina rentangan tali di sekitar kawasan lampu isyarat terbabit untuk menghalang kenderaan lain dari melalui laluan tersebut.

Kejadian banjir yang berlaku di bandar ini bermula lewat petang kelmarin telah menyebabkan banyak kenderaan terkandas dan terpaksa menggunakan laluan jalan raya yang tidak dinaiki air.

“Kejadian banjir ini bukan disebabkan oleh faktor hujan lebat kerana berdasarkan pengalaman kami ianya berlaku disebabkan oleh air yang mengalir dari kawasan hulu Sungai Batang Lupar petang ini,” dakwa seorang penduduk di lokasi kejadian.

Penduduk itu menambah bahawa banjir yang disebabkan oleh kejadian air pasang di Sungai Batang Lupar mempunyai corak yang berbeza berbanding dengan air yang melimpah dari kawasan hulu sungai tersebut.

No comments: