PETALING JAYA 10 Nov. – Kerajaan bersedia mempertimbangkan cadangan untuk menurunkan tarif elektrik sekiranya harga pasaran arang batu jatuh di bawah paras AS$75 (RM264.75) setan untuk satu jangka masa yang panjang.
Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, setakat ini, kerajaan tidak akan membuat kajian semula ke atas tarif elektrik memandangkan harga pasaran bahan mentah itu masih berada di paras antara AS$100 (RM353) hingga AS$120 (RM423.60) setan.
Menurutnya, tarif elektrik pada masa ini sebenarnya diambil kira berdasarkan harga pasaran arang batu sebanyak AS$75 (RM264.75) setan.
‘‘Namun hakikatnya harga bahan mentah itu lebih tinggi daripada AS$75 dan ini sebenarnya mengakibatkan TNB mengalami kerugian.
‘‘Kami akan mengkaji semula dan menurunkan tarif elektrik sekiranya ia berada di bawah paras AS$75 selama tiga bulan berturut-turut,’’ katanya selepas merasmikan Kempen Kesedaran Kecekapan Tenaga Kebangsaan di sini hari ini.
Turut hadir majlis itu Timbalan Menterinya, Datuk Joseph Salang Gandum; Ketua Setiausahanya, Datuk Dr. Halim Shafie dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh.
Kempen itu merupakan inisiatif kerajaan untuk mempromosi, memberi kesedaran dan menggalakkan penglibatan seluruh masyarakat merangkumi sektor industri dan sektor awam dalam aspek kecekapan tenaga.
Shaziman turut menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa kerajaan wajar menurunkan tarif elektrik ekoran penurunan harga minyak kerana sebelum ini kenaikan tarif dibuat ketika harga minyak meningkat.
‘‘Ini kerana penjanaan tenaga elektrik tidak melibatkan sumber minyak.
‘‘Sumber yang digunakan oleh TNB untuk menjana tenaga elektrik sebenarnya terdiri daripada gas (60 peratus), arang batu (30 peratus) dan sumber-sumber lain,’’ jelasnya.
Sementara itu, Che Khalib mengaku bahawa laporan suku tahunan akhir 2008 TNB memang berada di paras kerugian berikutan kerajaan tidak membenarkan pihaknya menaikkan tarif elektrik walaupun harga bahan mentah itu tinggi.
‘‘Keputusan kerajaan itu adalah bagi mengurangkan beban rakyat.
‘‘Harga arang batu yang melebihi AS$100 (RM353) setan pada masa ini menyebabkan kami terpaksa menanggung kos berlebihan dalam penjanaan tenaga elektrik,’’ jelasnya.
No comments:
Post a Comment