KUCHING 10 Nov. - Kerajaan negeri mengambil keputusan untuk melaksanakan sistem royalti pada satu kadar seragam (single flat royalti rate) bagi menyeragamkan royalti balak yang akan berkuatkuasa 1 Januari depan.
Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II Sarawak, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hasan berkata, dengan pelaksanaan sistem itu, semua jenis balak akan dikenakan royalti pada satu kadar iaitu RM65 semeter padu.
Menurutnya, pelaksanaan sistem itu juga dijangka mampu meningkatkan hasil royalti pada tahun depan dan secara keseluruhannya, peningkatan kadar royalti baru adalah sebanyak 18 peratus berbanding kadar royalti semasa.
''Kadar royalti yang digunakan pada masa ini tidak pernah disemak sejak tahun 1995 sedangkan harga pasaran balak dan produk berasaskan kayu telah meningkat dengan purata sebanyak 38 peratus dalam tempoh yang sama.
''Tujuan kerajaan melaksanakan sistem ini adalah disebabkan ia ringkas, mudah dan senang dipantau," katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Awang Tengah berkata, dalam tempoh lima tahun lalu (2003-2007), industri perkayuan Sarawak terus kukuh meskipun mengalami tekanan dan cabaran global dengan nilai eksport mencatat purata RM7.4 bilion setahun berbanding purata RM6 bilion setahun bagi tempoh lima tahun sebelumnya (1998-2000).
Katanya, pada tahun lalu, nilai pendapatan eksport barangan kayu Sarawak telah mencapai RM7.74 bilion dan merupakan 34 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara bernilai RM23 bilion.
Tambahnya, pendapatan eksport kayu telah menyumbang sebanyak 12 peratus daripada jumlah pendapatan perdagangan luar Sarawak iaitu penyumbang ketiga terbesar selepas gas dan petroleum.
''Dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, pendapatan eksport telah mencatatkan RM3.98 bilion, meningkat sebanyak 3.8 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.
''Sumbangan pendapatan eksport barangan kayu dari segi pertukaran wang asing tetap memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negeri ini dan menjadi pendorong kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak," ujarnya.
No comments:
Post a Comment