Friday, February 28, 2014

YAB TAN SRI DATUK AMAR ADENAN HAJI SATEM , KETUA MENTERI SARAWAK


Ooooohaaa' dan 'you' adalah dua perkataan kegemaran bakal Ketua Menteri Sarawak yang baru, Tan Sri Adenan Satem (gambar) setiap kali mengakhiri ayat dalam ucapan beliau.
Adenan kepada rakan seperjuangan dan masyarakat kebanyakan tidak pernah gagal untuk menggamatkan suasana majlis dengan jenaka bersahaja beliau biarpun air mukanya kelihatan serius.
Penulis dan jurufoto Bernama, baru-baru ini berkesempatan melawat Pekan Lundu, sebuah daerah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung
Datu, kawasan yang diwakili Adenan untuk mencungkil lebih banyak cerita unik mengenai bakal ketua menteri itu.
Bagi pengusaha katering yang hanya mahu dikenali sebagai 'PJ',  perkatan 'you' di setiap akhir ayat Adenan dianggap cara beliau untuk lebih mesra dengan masyarakat.
"Hadirin pasti ketawa mendengar setiap kali beliau menyebutnya dalam ayat   akhir jenakanya," katanya kepada Bernama.
Menurut Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Lundu, Jamsari Ahmad, setiap kali berada di Lundu, Adenan pasti mengambil peluang berjalan-jalan di sekitar pekan kecil itu.
"Kalau anda hendak tahu, di belakang kedai-kedai kayu ini di Perhentian Bas Lundu, ada sebuah kedai makan, di situlah tempat Adenan menghabiskan masa, makan mi goreng dan cendol," katanya.
Adenan bila berucap menurut mereka, selalu berterus terang, padat dan tidak panjang, paling lama pun biasanya 20 minit.
Malah pernah dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) beliau menggesa rakan-rakan supaya tidak memberikan ucapan panjang lebar pada majlis yang mereka rasmikan.
Dalam ucapannya beliau biasanya akan menyentuh tiga perkara... "perkara pertama, perkara kedua dan perkara ketiga" dan mengakhirinya dalam bahasa Iban "ya aja jako aku, sik boh nak jako panjai-panjai (itu saja ucapan saya, tak perlu berucap panjang-panjang).
Adenan memang fasih bertutur longhat Iban dan sering mencuit hati hadirin dengan menyelitkan jenaka seperti "akulah menteri paling handsome".
Sebagai anggota veteran dalam arena politik Sarawak dan sangat disegani, beliau pernah dinobatkan sebagai juara dalam perdebatan mengenai Tanah Adat di Sarawak dalam tahun 80-90an
Lulusan Ijazah Undang-Undang dari Universiti Adelaide, Australia, ini pernah bertugas sebagai guru, wartawan, majistret (1971-1972) dan pengamal undang-undang (1975-1985).
Beliau dipilih sebagai anggota Dewan Undangan Negeri Sarawak sejak 1987 hingga sekarang
Pernah dilantik sebagai menteri di Kementerian Pembangunan Tanah (1987-1992), menteri Pembangunan Sosial Sarawak (1992-1998), menteri Pertanian dan Industri Makanan Sarawak (1998-2004), menteri Sumber Asli dan Persekitaran Malaysia (2004-2006) dan menteri Tugas-Tugas Khas di Pejabat Ketua Menteri (2011 hingga sekarang)
Beliau juga adalah pengerusi Yayasan Sarawak, pengerusi Yayasan Kebudayaan Melayu Sarawak dan pengerusi Majlis Kampus Universiti Teknologi Swinburne.
Rakan-rakan dan mereka yang dekat dengan beliau mengatakan bapa kepada lima orang anak itu, yang berkahwin dengan Puan Sri Jamilah Anu, pandai memasak dan memiliki bakat menyanyi. Masa lapang beliau diisi dengan bermain golf dan membaca.
Berasal dari Kampung Bandashah di Kuching, Adenan adalah rakan sekampung dengan Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.
Dalam berlawak, beliau juga mempunyai sikap yang tegas. Malah pembangkang tidak berani untuk berdebat dengan beliau kerana setiap tuduhan yang dikeluarkan pembangkang akan beliau jawab dengan penuh diplomatik tapi tepat dan penuh dengan fakta.
Adenan terkenal dengan ketajaman pemikirannya, seorang yang boleh mengingati pelbagai peristiwa yang berlaku, kata orang yang paling dekat dengan beliau, Datuk Peter Minos.
Beliau sering mengejutkan orang lain dengan pengetahuan luas beliau dalam pelbagai perkara, mungkin kerana kerajinan beliau membaca.
"Keistimewaan Adenan ialah beliau merupakan pemimpin yang mampu berdikari, bijak dalam membuat keputusan. Kebolehan Adenan diakui oleh Ketua Menteri Abdul Taib Mahmud (yang akan melepaskan jawatan berkuatkuasa esok) dan rakan-rakan dalam kabinet.
"Itulah sebabnya banyak pihak yang menyifatkan keputusan pelantikan beliau sebagai ketua menteri kelima Sarawak satu keputusan yang tepat," kata Minos yang merupakan pengalisis politik dan bekas Timbalan Ketua Penerangan PBB.
Adenan juga sering diberi tugas oleh Taib untuk menyelesaikan krisis politik di negeri Sarawak.
Beliau merupakan orang yang bertanggungjawab membawa PBDS kembali ke pangkuan Barisan Nasional negeri pada 1993 setelah berunding dengan presiden PBDS ketika itu Tan Sri Leo Moggi dan Tan Sri James Jemut Masing.
Pemilihan Adenan sebagai ketua menteri baru jelas berbeza dengan sebelum ini yang lazimnya diputuskan satu badan khas (kokus), seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti itu.
Badan khas itu terdiri daripada anggota Dewan Undangan Negeri, anggota Parlimen dan Senator dalam PBB.
Bagaimanapun selepas bermesyuarat dengan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB pada 8 Februari, Taib diberi mandat untuk melantik penggantinya.
Adenan dipercayai mempunyai kemampuan untuk menyambung kepimpinan Taib demi menerajui Sarawak. – Bernama, 27 Februari, 2014.


No comments: