Tuesday, January 31, 2012

Duta Palestin terkejut




KUALA LUMPUR 30 Jan. – Duta Palestin ke Malaysia, Abdelaziz Abughoush (gambar) terkejut terhadap kenyataan ‘pelik’ daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyokong segala usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel.

Jelas beliau, kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang disiarkan di dalam The Wall Street Journal (WSJ) itu nyata membingungkan kerana pihak yang memerlukan perlindungan keselamatan adalah rakyat Palestin.

“Israel mempunyai lebih daripada 200 jenis senjata nuklear dan sebuah tentera yang dilengkapi serba serbi senjata canggih.

“Pihak mana yang sewajarnya mendapat perlindungan keselamatan, adakah penceroboh atau penduduk Palestin yang setiap hari ditindas dan dikenakan sekatan yang tidak berperikemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan kontroversi Anwar terbongkar apabila akhbar WSJ pada Khamis lalu mendedahkan sokongan Ketua Pembangkang tersebut apabila dipetik sebagai berkata: “Saya menyokong segala usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel’'.

Bagaimanapun, selepas dikecam pelbagai pihak, Anwar menuduh kenyataannya berhubung isu Israel dan Palestin sengaja diputar-belit oleh media tempatan bagi menggambarkan beliau mengkhianati aspirasi rakyat Palestin.

Tegas Abdelaziz, Israel secara terang-terang telah mencabuli undang-undang antarabangsa dan hak asasi kemanusiaan serta mengenepikan segala usaha daripada komuniti antarabangsa untuk membawa keamanan dan kestabilan di Asia Barat.

“Palestin adalah isu penting bagi umat Islam, justeru adalah amat pelik dan menghairankan untuk kenyataan seperti itu datang daripada seorang pemimpin Malaysia yang beragama Islam, sedangkan Malaysia adalah perintis kepada usaha yang menyokong rakyat Palestin serta perjuangannya,” kata beliau.

Sementara itu, kata Abdelaziz, beliau amat menghargai ketegasan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang menyatakan kerajaan Malaysia tidak pernah menyokong tindakan penindasan rakyat Palestin yang ditakrifkan Israel sebagai perlu bagi menjaga keselamatan negara tersebut.

“Kami yakin bahawa sokongan kuat daripada kerajaan dan rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin akan tetap berterusan,” katanya.


No comments: