Wednesday, January 25, 2012

BN adil untuk semua kaum – PM


NAJIB Tun Razak bersama Rosmah Mansor dan para pemimpin BN Pulau Pinang menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Tanjung City Marina, semalam. – UTUSAN/Sazali Che Din


PULAU PINANG 24 Jan. – Barisan Nasional (BN) akan terus memastikan setiap bantuan yang disediakan untuk rakyat dapat diagihkan secara adil dan saksama kepada semua kaum.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pertimbangan sedemikian amat penting supaya setiap rakyat dapat menikmati semangat kekitaan dan perasaan kebersamaan terhadap kemajuan negara.

“Prinsip ini yang akan menjadi panduan untuk masa depan kita.

“Kalau mahu mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi, kita perlukan bakat tempatan dan sumbangan daripada semua kaum termasuk Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, Orang Asli dan pelbagai lagi.

“Jika semua bergerak sederap sebagai satu bangsa, satu negara dan satu visi, maka kita akan dapat mencapai apa yang diharapkan,” katanya ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran BN negeri di sini hari ini.

Kira-kira 10,000 orang daripada pelbagai kaum hadir pada majlis yang berlangsung di Tanjung City Marina di sini.

Hadir sama Pengerusi BN Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan pemimpin parti-parti komponen BN. Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Terdahulu Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut beramah mesra dengan para hadirin.

Kedengaran juga beberapa pengunjung terutama kaum Cina memanggil Najib dengan gelaran ‘Ah Jib Gor’ yang bermaksud Abang Najib.

Najib memberitahu, prinsip berkenaan juga membolehkan kerajaan menyediakan pelbagai bentuk bantuan yang kini mula dinikmati oleh rakyat semua kaum.

Beliau menambah, segala bentuk bantuan yang diberikan itu adalah ikhlas untuk membantu rakyat tanpa sebarang niat tertentu.

Jelasnya, terpulang kepada rakyat untuk membuat keputusan sama ada mahu menerima atau menolaknya.

“Kita ikhlas nak bagi, tiada udang di sebalik batu. “Jangan fikir lepas kita beri Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) nak kejar. Kita tiada niat sedemikian,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, Malaysia mempunyai prospek cukup baik memandangkan kerajaan telah meletakkan asas perkembangan ekonomi yang kukuh.

Jelasnya, ia mampu dilaksanakan melalui perancangan yang begitu menyeluruh, tersusun dan sistematik.


No comments: