Thursday, December 29, 2011

Banjir di S’wak semakin pulih

KUCHING: Keadaan banjir di Sarawak semalam semakin pulih dengan hanya 2,938 mangsa daripada 772 keluarga masih lagi di-tempatkan di pusat pemindahan semalam berbanding 7,592 pada hari sebelumnya.


Misnu

Perkara itu dimaklumkan Pemangku Timbalan Pengerusi Jawa-tankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri Datu Misnu Taha dalam satu sidang media di Wisma Bapa Malaysia selepas mempenge-rusikan Mesyuarat Gerakan Banjir Negeri selama sejam setengah.


Beliau berkata, setakat semalam juga sembilan pusat pemindahan sudah ditutup dengan 11 lagi masih aktif iaitu dua di Kuching, lima di Samarahan, Sri Aman dan Sarikei masing-masing satu manakala di Sibu, dua.


“Setakat hari ini (semalam) ke-adaan banjir di Sarawak menampakkan tanda-tanda ia semakin pulih, dengan hanya 2,938 mangsa masih ditempatkan di pusat pemindahan.

“Bahagian Samarahan mencatat-kan jumlah mangsa dipindahkan teramai iaitu 1,333 orang daripada 310 keluarga diikuti Kuching 958 orang daripada 341 keluarga, Sibu 539 (87 keluarga), Sri Aman 102 mangsa (33 keluarga) dan Sarikei enam daripada sebuah keluarga,” jelasnya. Beliau menambah banjir yang melanda Sarawak sejak empat hari lalu mencatatkan tiada kemalangan jiwa berlaku.


Misnu memberitahu, semua jalan yang tidak dapat dilalui di bahagian Samarahan kini dapat digunakan oleh semua jenis kenderaan kecuali Jalan Pangkalan Pantu masih ditenggelami air setinggi satu meter serta Jalan Sembau/Stumbin (Sri Aman) dan Jalan Julau/Entabai.

Sementara itu katanya, Jabatan Meteorologi Negeri meramalkan keadaan cuaca akan bertambah baik pada 30 Disember ini sekali jus me-mungkin banjir di negeri ini pulih sepenuhnya.

“Ketika ini hujan turun sekejap-sekejap tetapi ramalan cuaca mendapati keadaan cuaca akan bertambah baik pada 30 Disember ini,” ujarnya.


Mengenai tiga sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Kelali (Samarahan), SK Beradek (Kuching) dan SK Chung Hua Pantu (Sri Aman) yang masih digunakan sebagai pusat pemindahan banjir, akan meneruskan sesi persekolahan seperti dijadualkan sekiranya banjir masih berlaku ketika sesi persekolahan 2012 bermula.


“Kalau sekolah-sekolah ini masih digunakan sebagai pusat pemindahan, sesi persekolahan tetap akan diteruskan, cuma kita akan meng-asingkan tempat-tempat menempatkan mangsa dari bilik-bilik darjah supaya operasi persekolahan tidak akan terjejas,” jelasnya.



Kor Ming tidak muncul serahkan surat saman

IPOH 28 Dis. - Penulis blog Sekupangduas, Ahmad Sofian Yahya hari ini mengotakan kata-katanya dengan hadir di pejabat DAP negeri untuk menerima sendiri surat saman daripada Setiausaha Agung DAP Perak, Nga Kor Ming berhubung dakwaan salah laku pemimpin itu.

Bagaimanapun, hasrat Ahmad Sofian, 47, yang tiba kira-kira pukul 10 pagi untuk bersemuka dengan Kor Ming tidak kesampaian apabila Ahli Parlimen Taiping itu tidak muncul.

Sebaliknya, hanya Naib Setiausaha Eksekutif DAP, Siew Lee Wah yang hadir untuk mendapatkan butiran diri Ahmad Sofian sambil memberitahu, Kor Ming tidak berada di bandar raya itu buat sementara waktu.

Lee Wah bagaimanapun mengesahkan, Kor Ming mengetahui mengenai hasrat Ahmad Sofian untuk datang bersemuka dengannya hari ini selepas membaca entri terbaru penulis blog itu semalam.

Ahmad Sofian yang ditemui pemberita mendakwa, tindakan Kor Ming untuk memfailkan saman hanya bertujuan menakut-nakutkannya daripada mendedahkan dakwaan salah guna kuasa yang dikaitkan dengan pemimpin DAP itu.

''Ini hanya satu taktik untuk menakut-nakutkan saya, tapi saya akan teruskan sehingga rakyat mengetahui kebenarannya," katanya sambil menyatakan kesediaan untuk membantu pihak berkuasa bagi menyiasat dakwaan tersebut.

Ahmad Sofian dalam blognya di http://www.sekupangduas.blogspot.com pada 16 Disember lalu memuat naik beberapa salinan dokumen yang menunjukkan berlaku salah guna kuasa dalam pemberian tender menjahit sut ahli majlis MBI selepas pakatan pembangkang mengambil alih kerajaan.

Dokumen itu mendedahkan, Ethan dan Elton, syarikat yang isteri Kor Ming, Wong Seow Ching sebagai seorang pengarahnya, memenangi kontrak tersebut walaupun menawarkan harga lebih tinggi berbanding pembida lain.

Blog tersebut juga mendakwa, kontrak untuk 24 sut rasmi yang pada asalnya ditawarkan kepada syarikat Goodman Tailor pada 3 April 2008, kemudiannya diberikan kepada Ethan and Elton selepas 'dicadangkan' kerajaan negeri ketika itu.

Pendedahan itu mencetuskan kemelut dalam kepimpinan DAP apabila Naib Pengerusi DAP Perak, M. Kulasegaran mahu Kor Ming memberi penjelasan terperinci berhubung dakwaan tersebut kerana ia boleh menjejaskan imej parti.

Ditanya mengenai cakap-cakap bahawa pendedahan itu melibatkan pejabat Menteri Besar Perak, Ahmad Sofian menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.

''Saya sedar banyak spekulasi akan timbul apabila saya mendedahkan apa yang sepatutnya rakyat tahu, tetapi saya ingin tegaskan tiada siapa yang berada di belakang saya," katanya

Thursday, December 15, 2011

NSembang Rakyat mengenai hudud senda hukum Allah

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Rakaman Sembang Rakyat mengenai hudud di Kelantan yang dipaparkan di laman video sosial Youtube sejak beberapa hari lalu perlu dihentikan serta-merta kerana jelas ia mempersendakan hukum Allah SWT.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja, Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya berkata, sekiranya rakaman itu dibiarkan hukum hudud yang terkandung di dalam al-Quran akan menjadi bahan cercaan dan kutukan sedangkan hukuman tersebut adalah ciptaan Allah.

Lebih malang lagi, katanya, pelakon-pelakon dalam rakaman itu adalah di kalangan mereka yang tidak ada ilmu berkaitan hingga menyebabkan isi perbincangan bertentangan dengan syarak.

''Kita menolak pelaksanaan hudud di Kelantan bukan disebabkan hukum hudud, tetapi disebabkan oleh hudud yang didatangkan dalam bentuk versi sedangkan ia merupakan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah.

''Selain itu terdapat kesalahan yang perlu diperbetulkan sebelum hukum ini dilaksanakan. Kita juga tidak kata semua peruntukan dalam enakmen hudud ini salah. Oleh itu, saya minta mereka yang tidak ada ilmu tentang hukum ini supaya jangan bercakap. Akibatnya dari segi akidah amat buruk,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau yang juga penggerak utama ulama muda UMNO berkata demikian ketika mengulas rakaman Sembang Rakyat mengenai hudud di Youtube yang jelas mencerca hukum ciptaan Allah itu.

Dalam rakaman tersebut terdapat beberapa pelakon termasuk bukan Islam yang membincangkan soal pelaksanaan hudud secara salah hingga menimbulkan rasa kurang senang di kalangan umat Islam.

Fathul Bari berkata, pelaksanaan hukum hudud juga bergantung kepada kesesuaian namun kewajipan untuk melaksanakannya pada satu masa paling sesuai tetap menjadi tanggungjawab kepada semua umat Islam terutama pemerintah.

Dalam perkembangan berkaitan, Fathul Bari yakin rakaman itu bukan tajaan UMNO sebaliknya oleh pihak tertentu yang sengaja mempermainkan hukum Allah.

''Cuba kita amati ucapan dasar dan penggulungan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Perhimpunan Agung sebelum ini bagaimana beliau menegaskan bahawa UMNO akan membela kesucian Islam, bangsa dan negara.

''Saya tidak fikir UMNO yang lakukan kerana UMNO mempunyai komitmen yang tinggi untuk memelihara Islam. Saya percaya ia dilakukan oleh pihak-pihak tertentu sehingga membuatkan umat Islam menjadi resah,'' katanya lagi.

Fathul Bari berkata, beliau terpaksa tampil membuat kenyataan kerana apa yang dipaparkan dalam Youtube itu dari segi hukumnya adalah haram dan wajib diperbetulkan.

Apatah lagi, katanya, mereka yang sengaja berbuat demikian boleh memberi kesan dari segi akidah.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak menghayati maksud satu hadis Rasulullah riwayat ibnu Majah; ''Akan tiba satu zaman di mana yang benar dikatakan bohong, yang bohong dikatakan benar. Amanah dikatakan khianat, khianat dikatakan amanah. Akan muncul pada zaman itu golongan 'Ruwaibidhoh' iaitu orang yang jahil tentang agama bercakap mengenai urusan manusia.''

Ketua Cabang PKR keluar parti : Perjuangan Hanya Retorik

Oleh MALINDA ABDUL MALIK pengarang@utusan.com.my

PULAU PINANG 14 Dis. - Belum pun selesai isu perbalahan antara Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh dengan Timbalan Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy, pakatan pembangkang yang memerintah negeri itu menerima satu lagi tamparan.

Kali ini ia melibatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), apabila Ketua Cabang parti di Bukit Gelugor, Lim Boo Chang keluar daripada parti tersebut

Serentak dengan itu, Boo Chang yang menganggap dirinya telah terpedaya dengan slogan reformasi PKR sejak tiga tahun lalu akan kembali menyertai parti Gerakan.

Berikutan keputusan itu juga, beliau yang menjadi Ketua Biro Undang-Undang dan Perkhidmatan Kemasyarakatan PKR Negeri akan melepaskan jawatan Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Pada sidang akhbar di sini hari ini, Boo Chang berkata, beliau mengambil keputusan itu selepas hilang keyakinan terhadap PKR yang didakwa gagal menepati janji untuk mereformasikan rakyat selain pertelagahan sesama sendiri dalam kalangan ahli.

"Selepas tiga tahun menjadi ahli, saya rasa kecewa dan sedar laungan reformasi yang mereka canangkan hanya indah di bibir.

"Itulah sebabnya saya mengambil keputusan untuk keluar parti dan kembali ke pangkuan Gerakan yang disertai selama 15 tahun sejak 1984 hingga 1999," katanya.

Beliau mendakwa, MPPP juga telah hilang kuasa autonomi berikutan terlalu banyak campur tangan dari pejabat Ketua Menteri serta sebilangan ahli Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Menurut Boo Chang, beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai ahli MPPP kepada Yang Dipertuanya, Patahiyah Ismail.

Selain itu, katanya, beliau juga telah memaklumkan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berhubung keputusannya itu.

"Selama perkhidmatan saya sebagai ahli majlis dari tahun 1990 hingga 1995 ketika berada dalam Gerakan, MPPP tidak pernah mengalami campur tangan yang tidak munasabah.

"Saya terkilan kerana salah laku sebegini berlaku di bawah pentadbiran kerajaan yang kononnya mengamalkan pentadbiran melalui slogan Kompeten, Akauntabiliti serta Telus (CAT)," ujarnya.

Selain itu, salah satu faktor yang turut mendorong tindakannya adalah berkaitan perjanjian konsesi Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang Subterranean (sPice) yang dikatakan ada campur tangan kerajaan negeri.

Kerajaan negeri dakwa beliau, mengarahkan MPPP menandatangani kontrak dengan pihak konsesi dengan tergesa-gesa dan penuh berahsia apabila terma-terma dan syarat-syarat tidak dimaklumkan kepada 23 ahli majlis, kecuali mereka yang menandatangani perjanjian itu sahaja.

Dakwanya, perjanjian itu juga mengecualikan keperluan kajian impak sosial dan penilaian trafik yang membawa kesan kepada kawasan di sekeliling projek.

"Sehingga hari ini, salinan kontrak projek berkenaan tidak diberikan kepada saya seperti yang dijanjikan Patahiyah, malah kerajaan negeri mengarahkan MPPP menampung kos tanpa kelulusan Mesyuarat Biasa Majlis.

"Jadi, demi menegakkan prinsip, saya mengambil keputusan meletakkan jawatan dalam PKR (berkuatkuasa) serta-merta," katanya.

Ditanya adakah beliau telah mengemukakan permohonan menyertai Gerakan, katanya, tiada permohonan rasmi dihantar, namun berharap beliau diterima semula.

"Ini keputusan peribadi dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak kerana saya percaya Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berada pada landasan betul menuju perkembangan ekonomi serta kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum di bawah Gagasan 1Malaysia," katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Ong Thean Lye berkata, parti itu masih belum menerima sebarang permohonan daripada Boo Chang.

Beliau berkata parti Gerakan adalah terbuka dan mengalu-alukan kemasukan setiap rakyat Malaysia yang menyetujui perjuangan dan ideologi parti itu sebagai anggotanya.

"Tetapi bagi kes Lim yang telah keluar daripada parti sebelum ini, kami akan mengadakan mesyuarat khas membincangkannya dan memberi laporan kepada Jawatankuasa Kerja Pusat untuk membuat keputusan," katanya.

Friday, December 2, 2011

Sedia hadapi PRU13 – Najib


NAJIB Tun Razak bersama-sama para perwakilan UMNO mengibar Jalur Gemilang sambil menyanyikan lagu 1Malaysia sebelum menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-62 2011 di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/Izham Jaafar


KUALA LUMPUR 1 Dis. – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meniupkan semboyan kepada seluruh ahli dan kepimpinan UMNO dengan menegaskan masa dan waktunya sudah tiba untuk mereka turun bertempur di gelanggang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Mengungkapkan demikian pada akhir Ucapan Dasar Presiden di sini, Presiden UMNO berkata, dalam sistem demokrasi, tidak ada tempat kedua sebaliknya UMNO wajib menjadi juara.

Menurut beliau, biar berdepan apa pun dugaan, orang UMNO mesti terus berdamping dengan rakyat.

“Ayuh, rapatkan saf, nyalakan jamung, gigitlah kuat-kuat perjuangan ini dengan geraham kita.

“Palulah genderang perang, palulah ia tabuh-tabuhan dan tiupkanlah semboyan. Masanya sudah hampir, waktunya sudah tiba. Bingkaslah orang-orang UMNO, kita turun ke medan bakti,” kata beliau.

Dalam ucapan selama sejam itu, Najib berkata, parti akan menempah tragedi jika ia masih gagal memahami dan menghayati faktor-faktor yang menjadi ‘game changer’ atau peneraju cara baru kepada landskap politik nasional.

Pada masa sama, parti berdepan risiko jika tidak pula mengambil langkah merangka semula gerakan terancang.

“Apakah yang dimaksudkan dengan game changer ini? Pertamanya ialah realiti baru. Jika UMNO tidak memahami realiti baru lanskap politik nasional, bagaimana UMNO dan BN mahu berjaya?

“Keduanya, media baru. Mahu tidak mahu, suka tidak suka, UMNO harus menguasai media baru kerana hari ini, detik ini, ia mampu menentukan kemenangan atau kekalahan.

“Ia berupaya mendatarkan “the playing field” atau ia turut boleh menjadikan satu pertarungan itu tidak setara,” kata beliau.

Memenuhi maksud dan menjiwai realiti baru juga, kata beliau, UMNO tidak boleh hanya sekadar hebat bertempur dalam pertarungan lalu.

“Kita semestinya juga menjadi juara dalam berperang di medan laga terkini,” katanya.

Ketiga, kata Najib, UMNO juga harus menghayati pemikiran baru yang ada di kalangan semua segmen pengundi bagi menarik sokongan mereka.

Kata beliau: “UMNO tidak boleh bersikap atau sekalipun dilihat sebagai bersikap angkuh lagi sombong. Jika tidak, para pengundi dan rakyat akan benci dan menjauhi kita.”

Beliau mengingatkan bahawa jasa UMNO yang memberi kemakmuran kepada rakyat negara ini seolah-olah hendak dipadam terus dari helaian sejarah oleh pembangkang.

“Mereka tanpa malu dan segan, gah mendakwa bahawa UMNO langsung tiada budi atas kehidupan mereka. Kalau benarlah begitu, siapakah yang mengubur Malayan Union? Siapa yang memenangi kemerdekaan secara aman? Kalau bukan parti bertuah ini.

“Mengatasi semua persoalan ini, kata orang, kalau mandi air di kali, jangan lupa pada siapa yang menggalinya. Kerana bukankah UMNO yang menjadi induk, mencipta kemakmuran?,” katanya.

Kata Presiden UMNO: “Ini tidak, belum lagi berkuasa, sudah ibarat kaduk naik junjung. Ibarat lidah tidak bertulang, katanya mahu membuang separuh dari penjawat awam kalau sudah berkuasa.

“Apa maksud mereka mahu membuang lebih 200 ribu orang guru? Siapa yang mahu mengajar anak-anak kita? Bukan semua yang mampu menghantar anak ke sekolah-sekolah swasta.”

Tidak cukup dengan itu, kata beliau, pembangkang juga mahu menamatkan khidmat separuh doktor dan jururawat sedangkan tidak semua rakyat Malaysia mampu mendapatkan rawatan di hospital-hospital swasta.

“Mahu diberhentikan separuh tentera dan polis? Lalu, pada siapa hendak diharap untuk membenteng keselamatan kita dan keluarga?,” katanya.

Kata beliau: “Inilah nasib yang akan melanda, jika UMNO sudah hilang kuasa, siapa yang akan membela syiar Islam? Siapa yang mampu membela hak umat dan agenda orang Melayu? Siapa pula yang dapat terus memuliakan Raja-Raja kita? Tepuklah dada, tanyalah jawapan.