Friday, November 18, 2011

Tsu Koon tak akan bertanding PRU13

KUALA LUMPUR 17 Nov. – Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon hari ini mengumumkan untuk tidak bertanding sebagai calon dalam mana-mana kawasan sama ada kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang.

Pada sidang akhbar di ibu pejabat parti itu, Tsu Koon, 62, berkata, secara asasnya, ia merupakan keputusan peribadi dan telah dibincangkan bersama Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dan Jawatankuasa Pusat (CC) Gerakan.

Namun katanya, beliau tidak berada di bawah tekanan untuk membuat keputusan itu walaupun berhadapan pelbagai kritikan sejak kebelakangan ini termasuk dari dalam parti yang mendesaknya supaya meletak jawatan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah dimaklumkan mengenai hasrat saya ini dan beliau menerima serta menghormati keputusan tersebut.

“Ia juga selaras dengan langkah kepada pembaharuan dan transformasi Gerakan dengan memberi peluang kepada generasi pelapis memainkan peranan lebih penting menerusi agenda ‘Gerak Bersama Rakyat',” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Selasa lepas, Tsu Koon menyatakan bahawa beliau akan membuat pengumuman penting mengenai pelan pembaharuan parti itu hari ini.

Tsu Koon berkata, beliau masih kekal sebagai Presiden Gerakan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri manakala jawatannya sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang akan ditentukan Perdana Menteri.

No comments: