Friday, November 18, 2011

Penjelasan Lengkap NFC Jawab Fitnah Lembu (Sebarkan)

National Feedlot Corporation (NFC) telah mereka strategi kewangannya sendiri yang termasuklah strategi pelaburan di bidang harta yang ia jangka dapat memberi pulangan tinggi dan stabil kepada syarikat.

Pengerusi Eksekutif NFC, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, semasa menjawab dakwaan PKR yang mempersoalkan pembelian unit-unit kondominium di Bangsar oleh syarikat itu, berkata pembelian dua unit kondominium One Menerung berharga RM6.9 juta tiap satu itu adalah satu keputusan komersial melindungi dana yang tidak digunakann untuk projek rumah sembelihan yang tergendala bukan kerana kesilapan NFC.

"Kami boleh memasukkannya ke dalam simpanan tetap namun menghadapi kerugian nilai kerana inflasi kami tinggi. Sementara menunggu projek itu dimulakan kami perlu mencari tempat meletakkan wang bagi satu tempoh supaya tidak mengalami kerosotan dan mendapat keuntungan hampir setiap tahun," katanya di satu sidang akhbar di Gemas pada Khamis.

Bernama melaporkan, Mohammad Salleh berkata yang terbaik sekali ialah membiarkan dana sebagai simpanan tetap yang akan kurang kontroversi tetapi tidak akan memberikan hasil yang dikehendaki syarikat daripada dana yang bersaiz sedemikian.

Perunding korporat dan kewangan NFC, Zakaria Mohammad berkata kumpulan itu menerima rebat kira-kira RM700,000 setiap unit selama dua tahun daripada pemaju dan pemaju juga membuat urusan supaya NFC mendapat sewaan daripada unit dengan pendapatan kira-kira RM200,000 setahun.

Katanya, NFC akan memperoleh kira-kira RM3.6 juta daripada kedua-dua unit berkenaan bagi dua tahun pertama pada 2010 dan 2011 yang semuanya dikreditkan kepada kumpulan NFC.

Mohammad Salleh berkata tujuan pemberian pinjaman sudah pasti untuk ladang ternakan dan infrastruktur. Dengan kerana itu walaupun pembelian kondo adalah menyimpang daripada tujuan pinjaman diberi, harta berkenaan masih disimpan atas nama dan mengikut rekod buku syarikat.

Ia adalah soal untuk menukarkan balik harta menjadi tunai mengikut keuntungan yang dikehendaki dan tidak berlaku sebarang tindakan memperkaya atau perbuatan tidak jujur di pihak mana-mana individu, katanya.

Mengenai pinjaman RM250 juta daripada kerajaan, Mohammad Salleh berkata ia bukanlah satu bantuan atau 'grant'.

Katanya, pinjaman mesti dibayar balik seperti pinjaman komersial walaupun beberapa konsesi diberi.

Pinjaman RM250 juta itu dengan kadar faedah dua peratus, dibayar balik bermula pada tahun ketiga setelah pinjaman dikeluarkan sepenuhnya dan apabila siapnya pembinaan rumah sembelihan untuk eksport berkualiti.

"Buat masa sekarang pinjaman belum lagi dikeluarkan sepenuhnya kepada NFC. Masih ada RM69 juta lagi baki pinjaman belum digunakan," katanya.

Mohammad Salleh berkata pinjaman tersebut diletakkan di bawah Akaun Pinjaman Khas tetapi proses menurun diperlukan sebelum dana dapat digunakan oleh NFC.

Mengenai dakwaan bahawa rangkaian restoran Meatworks memperoleh diskaun berjumlah RM2.9 juta pada 2009, beliau berkata diskaun yang sama diperolehi 70 pelanggan restoran itu dalam tempoh yang sama.

Beliau berkata mengwujudkan jenama Meatworks dalam menjual daging yang berkualiti telah membolehkan NFC menembusi dalam pasaran yang begitu ketat dikawal.

"Orang ramai tidak percaya bahawa Malaysia boleh mengeluarkan daging baik yang berkualiti premium," tambah beliau.

Mengenai harga tinggi bagi lembu NFC berbanding lembu yang dibeli di Malaysia, Mohammad Salleh berkata lembu-lembu NFC biasanya memiliki berat antara 70-100 peratus lebih daripada lembu tempatan.

Katanya, NFC kini mempunyai 150 syarikat pelanggan dan antara pelanggannya yang terbesar ialah Jusco, Giant dan Cold Storage.

NFC membekalkan 46 peratus dagingnya kepada pasar basah, 20 peratus ke pasaraya, 22 peratus kepada kilang memproses daging dan burger dan hanya 11 peratus kepada hotel, restoran dan katering.

Sejak tiga tahun penubuhannya NFC berjaya membangunkan infrastruktur seperti lot-lot makanan, rumah sembelih, setor makanan dan bilik sejuk. Tahun depan NFC akan menceburi ladang kontrak.

"Kami sudah memperoleh imbangan pendapatan dan dijangka mendapat keuntungan," katanya.-17/11/2011

Sumber : Agenda Daily

http://www.agendadaily.com/index.php

No comments: