Tuesday, November 15, 2011

Bandingan palsu pembangkang


PETALING JAYA 14 Nov. - Perbandingan harga yang dilakukan ahli-ahli Parlimen pembangkang terhadap produk Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) adalah palsu dan bertujuan mengaburi mata rakyat semata-mata.

Sambil membidas tindakan tersebut, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd. (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin berkata, dari segi kualiti, sepatutnya mereka membandingkan produk KR1M dengan produk Carrefour Brand bukannya Carrefour Big Saver.

Katanya, harga produk Carrefour yang dibandingkan pembangkang dengan produk KR1M turut bercanggah dengan harga sebenar produk tersebut di pasaran.

"Produk kami menunjukkan penjimatan antara 30 hingga 50 peratus apabila dibandingkan dengan jenama popular serta antarabangsa misalnya Nestle, P&G, Unilever dan sebagainya. Pembangkang pula membandingkan jenama KR1M dengan jenama persendirian pasar raya lain seperti Carrefour Big Saver.

"23 barangan yang dibandingkan pembangkang adalah tidak berasas kerana terdapat perbezaan daripada segi kualiti seperti pencuci serbaguna, sardin dan teh Ceylon," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar sebelum ini yang menyatakan bahawa harga dan kualiti produk KR1M tidak seperti yang digambarkan.

Jelas Ameer Ali, kualiti pencuci serba guna adalah berlainan dan mempunyai komposisi berbeza manakala produk sardin yang dibandingkan berbeza daripada segi kualiti dan rupa berbanding produk KR1M.

Tambahnya, perbandingan terhadap teh Ceylon dengan teh hitam keluaran Carrefour turut tidak setara kerana teh Ceylon adalah dari Sri Lanka sepenuhnya dan lebih berkualiti manakala teh hitam adalah campuran sumber teh dari Indonesia dan Sri Lanka.

Berhubung perbandingan produk lain katanya, pembangkang seharusnya membandingkan produk KR1M dengan jenama seperti peluntur pakaian Clorox, pencuci pakaian Dynamo dan sabun buku Dobi.

Daripada segi berat dan isipadu, ujar beliau, Tony membandingkan pencuci pinggan mangkuk KR1M yang berisipadu 400 gram dengan pencuci pinggan mangkuk Carrefour Big Savers berisipadu 350 gram yang kualiti pembungkusannya berbeza.

Beliau menambah, begitu juga dengan produk koktail buah-buahan KR1M yang dibandingkan dengan produk sama jenama Edible Specialities yang isipadunya kurang daripada 150 gram.

Sementara itu, berhubung kandungan khasiat produk, susu pekat KR1M mempunyai khasiat 2 gram protein berbanding krimer manis Carrefour Brand sebanyak 1.6 gram protein.

"Terdapat juga produk yang berlainan jenis dibandingkan oleh Tony iaitu minuman bes blackcurrant KR1M yang dibandingkan dengan kordial anggur Carrefour Big Saver.

"Turut dikesan pada perbandingan pembangkang adalah enam produk yang harganya jauh lebih rendah daripada harga sebenar iaitu tisu tandas, krimer pekat manis, daging kisar jenama Ramly, kentang goreng jenama KK dan minuman berkarbonat," tambah beliau.

Dalam pada itu, pembekal susu segar menolak sama sekali dakwaan susu segar yang dijualnya di KR1M dicemari bakteria E.Coli.

Pengarah Corakmas Marketing Sdn. Bhd, Low Chee Keong berkata, setiap susu yang dibekalkan telah menjalani sebanyak dua pemeringkatan saringan sebelum dipasarkan KR1M.

"Kami menerima susu segar daripada penternak-penternak lembu seawal pagi yang akan diuji tahap bakteria terlebih dahulu sebelum dibeli daripada mereka.

"Malah dalam pemprosesan kilang, kita berjaya mengurangkan tahap kehadiran koloni bakteria sebanyak 1,000 dengan tahap suhu setinggi 85 darjah selsius," tegasnya.

No comments: