Wednesday, September 21, 2011

Bajet 2012 kurangkan beban rakyat - Muhyiddin


DUNGUN 20 Sept. - Bajet 2012 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, memberi perhatian kepada isu-isu yang menjadi keluh-kesah rakyat terutama mengurangkan bebanan peningkatan kos sara hidup.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin bajet itu terarah kepada kepentingan rakyat umum dan beliau berharap semua pihak bersabar menunggu pembentangan oleh Perdana Menteri kelak.

"Wallahualam...apa yang terkandung dalam bajet itu, kita berharap ia akan menyentuh perkara yang dapat mengurangkan kos bebanan rakyat.

"Apa yang kita alami sekarang mempunyai kaitan dengan krisis ekonomi yang turut melanda negara-negara Eropah dan membawa limpahan kesannya ke negara ini, justeru kerajaan akan terus berusaha menanganinya agar tidak menjejaskan rakyat," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berdialog pada majlis Perjumpaan Khas Bersama Kepimpinan Masyarakat Tempatan, Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan, Swasta, Industri dan Badan-Badan Bukan Kerajaan, di sini hari ini.

Lebih 1,000 orang hadir pada majlis yang diadakan di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin di sini dan program itu merupakan satu aturcara lawatan sehari ke negeri ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Muhyiddin kemudiannya turut bersama dalam Majlis Ramah Mesra dan Jamuan Rakyat sempena Aidilfitri bersama lebih 10,000 orang di padang Dewan Merdeka.

Muhyiddin menegaskan, bagi meringankan bebanan rakyat, kerajaan akan mengambil kira keupayaan kewangan kerajaan dalam menggerakkan pendekatan dan pengenalan bentuk-bentuk bantuan dan pada masa sama mengawal defisit negara.

Beliau menarik perhatian, sebagai sebuah kerajaan yang sentiasa prihatin akan kebajikan rakyat, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan pastinya akan mengambil kira semua aspek yang memberi kebaikan dan kesejahteraan kepada rakyat.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Muhyiddin berkata, langkah memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah selaras dengan kematangan rakyat dan perubahan keadaan.

Muhyiddin bagaimanapun mengingatkan, pemansuhan itu tidak bermakna semua pihak termasuk mereka yang bersifat pelampau dan cuba mengganggu-gugat keamanan dan keselamatan negara, boleh terlepas daripada tindakan undang-undang.

Beliau menjelaskan, pemansuhan akta ISA itu tidak bermakna rakyat boleh melakukan semua perkara sesuka hati seperti yang dibimbangkan oleh sesetengah rakyat.

"Pemansuhan akta itu diharap memberi ruang kepada rakyat untuk menghayati demokrasi yang lebih tulen, namun rakyat perlulah matang dan bertanggungjawab terhadap apa jua tindakan dan perlakuan mereka," katanya.

No comments: