Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada masa sama, mereka harus sedar bahawa kepentingan tiga gabungan parti itu sebenarnya diambil alih oleh DAP.
''Saya fikir, DAP harus disedarkan oleh Pas dan PKR yang mewakili kawasan Melayu bahawa DAP telah melangkaui batas-batas yang sepatutnya menjadi kawasan tanggungjawab kepada kedua parti itu.
''Justeru, saya minta Pas dan PKR sedar akan permainan yang sedang dibawa DAP ini," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang berasakan sudah tiba masanya bagi parti itu meluaskan pengaruh dengan menjangkau seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.
Kit Siang dalam wawancara eksklusif bersama portal pembangkang MalaysiaKini itu turut menambah, ia adalah sesuatu yang baik untuk pembangkang meskipun mengakui mungkin terpaksa membuat 'keputusan yang sukar'.
Ahmad Zahid dalam pada itu berkata, DAP dipercayai akan meletakkan wakil daripada keturunan Melayu bagi bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai Undang-Undang Tubuh Negeri dalam melaksanakan agenda besar parti itu.
Katanya, Undang-Undang tubuh Negeri itu akan mengusulkan wakil DAP dari keturunan Melayu untuk menjadi Menteri Besar sekiranya parti itu memenangi pilihan raya yang akan datang.
''Saya harap orang Melayu akan sedar bahawa DAP akan menguasai golongan majoriti hanya kerana kumpulan itu berpecah.
''Pada masa sama saya berharap mereka menggunakan 'majoriti senyap' untuk mengatasi pengaruh dan usaha yang dibawa oleh DAP ini," katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, telahan pihak yang mengatakan Barisan Nasional (BN) tidak dapat mempertahankan Perak dan Negeri Sembilan daripada pihak pembangkang hanya akan dibuktikan pada pilihan raya yang akan datang.
Namun katanya, pertambahan sokongan daripada masyarakat Melayu dan India akan mengatasi prestasi BN pada 2008 yang juga merupakan peristiwa malang kepada parti.
No comments:
Post a Comment