KUCHING 2 Ogos - Rakyat di negeri ini diingatkan supaya tidak membangkitkan isu sensitif serta mempolitikkan perkara berkaitan perkauman kerana ia boleh menjejaskan keharmonian rakyat dan menggugat imej negara.
Menteri Muda Hal Ehwal Islam negeri, Datuk Ir. Daud Abdul Rahman berkata, rakyat seharusnya berbangga menjadi warganegara Malaysia dengan membentuk semangat patriotik dan kenegaraan yang kukuh dalam diri mereka.
Katanya, semangat patriotik dan cintakan negara harus mekar di sanubari setiap rakyat pada sepanjang masa kerana negara ini adalah tanah air mereka sendiri.
''Setelah 54 tahun merdeka, Malaysia telah menghadapi pelbagai dugaan dunia politik namun masih mampu mengekalkan suasana aman dan damai serta rakyatnya hidup dalam harmoni.
''Meskipun terdapat pelbagai usaha terancang yang mahu memporak-perandakan negara, menjatuhkan pemimpin sedia ada, seluruh rakyat terutamanya generasi muda harus mengukuhkan jati diri, bersatu hati dan saling percaya mempercayai.
''Rakyat harus menolak setiap anasir yang mahu merosakkan kesejahteraan dan keharmonian negara selain mahu memecahkan perpaduan di kalangan kita semua," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Kembara Merdeka Jalur Gemilang Ramadan 2011 Peringkat Bahagian Kuching di sini, petang semalam.
Daud berkata, suasana negara yang semakin berkembang maju menjadikan rakyat mampu menikmati pelbagai kemudahan dan ini patut menjadi pendorong kepada generasi muda supaya tidak leka dalam mengekalkan status kemerdekaan yang diperjuangkan oleh pemimpin terdahulu.
No comments:
Post a Comment