by Saibi Gi. Posted on August 11, 2011, Thursday
Dr Rundi nafi dakwaan pembangkang sokongan rakyat beralih dari BN
KUCHING: Sebulan berlalu selepas Perhimpunan Bersih 2.0 diadakan di Kuala Lumpur, ia dikatakan tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) terutama di Sarawak.
Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata protes terhadap proses pilihan raya di negara ini pada 9 Julai lalu tidak berapa diikuti perkembangannya oleh penduduk Sarawak.
“Tidak ada kesan langsung kepada masyarakat di Sarawak secara umum,” katanya menerusi teks pesanan ringkas kepada Utusan Borneo, semalam.
Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan beberapa pihak, terutama pembangkang, yang menganggap penyertaan orang ramai dalam perhimpunan tersebut merupakan signifikan terhadap sokongan majoriti rakyat beralih arah dari BN.
Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan merupakan penganjur perhimpunan tersebut yang dikatakan bertujuan menuntut agar proses pilihan raya di negara ini diadakan lebih adil dan telus.
Tindakan kumpulan tersebut mendapat sokongan dan disertai parti-parti politik pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS).
Dr Rundi yang juga Menteri Muda Kesihatan Awam berkata lagi, BN, sama ada di peringkat pusat atau negeri, mengetahui tujuan perhimpunan seumpama itu diadakan.
Beliau membayangkan perhimpunan itu diadakan bukan untuk menuntut proses pilihan raya adil dan telus, tetapi lebih ingin meraih sokongan dan simpati di kalangan rakyat, terutama apabila spekulasi mengatakan pilihan raya umum bakal diadakan hujung tahun ini atau awal 2012.
“Kita tahu apakah tujuan yang sebenar,” katanya.
Mengenai prestasi PBB pada pilihan raya umum akan datang, sama ada ia dapat mengekalkan kecemerlangan pada pilihan raya negeri ke-10 baru-baru ini, beliau berkata: “Kita yakin mencapai kemenangan 100 peratus.”
PBB, pada Pilihan Raya Umum 2008, menang semua 14 kerusi yang ditandinginya.
Mengulas perkara yang sama, Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial, UNIMAS Dr Neilson Ilan Mersat berpendapat, bahang perhimpunan tersebut kurang dirasai di Sarawak. “Macam tidak ada impak,” katanya.
No comments:
Post a Comment