Monday, July 4, 2011

Ordinan Darurat cegah keadaan lebih buruk

PEKAN 3 Julai - Tindakan polis menggunakan Ordinan Darurat terhadap golongan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan subversif merupakan langkah pencegahan bagi mengelakkan sesuatu yang lebih buruk berlaku.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan, pihak berkuasa terpaksa menggunakan ordinan tersebut bagi memastikan ketenteraman awam terus terpelihara.

"Ini (Ordinan Darurat) sebagai langkah pencegahan. Pencegahan lebih baik daripada berubat. Apa yang dilakukan polis itu sebagai langkah pencegahan sebelum sesuatu yang lebih buruk berlaku," katanya.

Najib berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan polis menahan enam orang termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr. D. Jeyakumar di bawah Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 selepas dipercayai terlibat dalam anasir subversif.

Kesemua mereka terbabit adalah antara 30 orang yang ditahan ketika menaiki sebuah bas di Plaza Tol Sungai Dua, Pulau Pinang pada 25 Jun lalu.

Ini merupakan kali pertama polis menggunakan ordinan tersebut ke atas penyokong Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) selepas mendapati mereka terlibat dalam kegiatan yang boleh memudaratkan ketenteraman awam.

Mengulas lanjut, Najib menegaskan, pihaknya percaya polis memahami segala implikasi sebelum mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit dalam kegiatan subversif itu.

Menurut Perdana Menteri, tindakan penyokong Bersih yang melakukan provokasi bertujuan menggambarkan kerajaan mengamalkan dasar kuku besi dan tidak liberal.

"Saya percaya mereka hendak menunjukkan kita sebagai kerajaan yang autokratik dan berkuku besi dan sanggup menolak hak asasi mereka. Ini mereka akan cuba gambarkan kepada dunia luar," katanya.

Jelas beliau, golongan terbabit juga akan menggunakan media antarabangsa untuk menggambarkan kononnya kerajaan melakukan kezaliman apabila pihak berkuasa menggunakan kuasa terhadap mereka.

"Ini sangat mudah untuk mereka menuduh kerajaan tidak mengamalkan dasar-dasar liberal. Sebenarnya kita (kerajaan) sudah cukup liberal," katanya.

Najib turut menyelar tindakan sesetengah pihak yang menyalahtafsirkan maksud perhimpunan yang dibenarkan oleh kerajaan.

"Kebebasan berkumpul ada syaratnya, kita mesti jaga keamanan dan ketenteraman awam. Apabila terlalu bebas, ia akan menjurus kepada keadaan huru-hara dan tidak menentu," jelasnya.

Beliau berkata, penyalahgunaan maksud berhimpun akan menjurus kepada tindakan yang menyalahi undang-undang selain memberi kesempatan kepada pihak lain 'menangguk di air keruh.'

"Ada pihak yang tumpang semangkuk, mungkin yang berfahaman komunis, kaki pengacau dan golongan yang memang suka berhimpun hingga menaikkan semangat mereka," katanya.

Sumber : UTUSAN MALAYSIA 4.07.2011

No comments: