SANGAT menyedihkan setelah hampir 54 tahun merdeka, masih terdapat keresahan di kalangan pihak berkuasa berkenaan hak asasi yang merupakan faktor penting dalam fungsi demokrasi.
Mereka terlupa bahawa “hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata” adalah kebebasan yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Malaysia. Ia adalah kebebasan yang seharusnya tidak mengancam kesejahteraan masyarakat.
Walau bagaimanapun, seperti mana semua hak dan kebebasan, ungkapan sebenar serta maksud kebebasan berhimpun perlulah mengambil kira konteks dan tujuan di sebaliknya. Dengan mengambil kira tujuan dan maksud inilah, ia menjadi sangat kritikal didalam perhimpunan ‘Perhimpunan 9 Julai’. Terdapat pelbagai dimensi dan pemahaman yang perlu diambil iktibar oleh pihak penganjur dan penyokong perhimpunan Bersih, termasuklah pihak yang menentang iaitu Perkasa dan Pemuda UMNO.
Isu-isu
1) Bersih mendakwa bahawa tujuan utama perhimpunan ini adalah untuk menunjukkan kelemahan dan kecacatan dalam sistem pilihan raya kita. Memandangkan pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), usaha itu sepatutnya diteruskan. Pengerusi SPR sedia untuk berdialog. Beliau kini seharusnya secara terbuka menjemput Bersih untuk meneruskan perbincangan tanpa mengambil kira perancangan untuk mengadakan perhimpunan pada 9 Julai. Bersih pula perlulah memberi tindak balas secara positif terhadap SPR. Dalam konteks demokrasi yang matang seharusnya peluang untuk berdialog bagi menyelesaikan isu-isu perlulah diambil.
2) Antara lainnya, Bersih menumpukan kepada isu seperti ‘pendaftaran pengundi secara automatik’ (saya menyokong isu ini) yang mana ia adalah di luar bidang kuasa SPR. Perkara ini memerlukan kelulusan perundangan. Jika Bersih tidak boleh meyakinkan Barisan Nasional (BN) untuk memperkenalkan undang-undang pilihan raya baru, adakah mereka telah berjaya mendapat sokongan ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) untuk membentangkan Rang Undang-Undang “Ahli Persendirian” melalui reformasi ke atas pilihan raya yang dituntutnya kini? Berapa kalikah Rang Undang-Undang tersebut dibentangkan sejak Mac 2008? Adakah cubaan untuk membentangkan Rang Undang-Undang itu digagalkan oleh Speaker Dewan Rakyat? Memandangkan Bersih terdiri daripada parti-parti pembangkang yang diwakili di Parlimen, ia sepatutnya menyatakan/menerangkan kepada orang awam/ramai secara terperinci tentang bagaimana ia telah memohon kepada Parlimen sejak tiga tahun lepas agar pembaharuan pilihan raya dibuat.
3) Dalam tuntutannya, Bersih tidak membezakan proses sebenar pilihan raya daripada proses pilihan raya politik yang lebih besar. Perlakuan proses sebenar pilihan raya di Malaysia semenjak 1959, bermula dari penyelenggaraan daftar pemilih sehinggalah kepada perlindungan integriti kertas undi, sebahagian besarnya adalah adil dan saksama dan mengambil kira bahawa tiada sistem pilihan raya di dunia ini sama sekali tiada kelemahan atau cacat celanya. Kesimpulan ini telah dibuat oleh Kumpulan Pemerhati Pilihan Raya yang diketuai oleh Allahyarham Tun Suffian Hashim Mohamed pada Pilihan Raya Umum 1990 (saya adalah salah seorang anggota kumpulan tersebut). Kami juga telah menyatakan bahawa penyalahgunaan kemudahan kerajaan yang sedia ada untuk tujuan kempen dan peranan berat sebelah dari media arus perdana merupakan ketidakadilan di dalam proses pilihan raya - politik yang telah ditunjukkan. Memandangkan perkara itu adalah sahih dan masih lagi belum/tidak ditangani, Bersih mempunyai sebab untuk membangkitkan perkara itu.
4) Sekiranya usaha Bersih adalah berlandaskan keikhlasan untuk memperbetulkan keadaan, seharusnya parti-parti politik yang berada di barisan hadapan di dalam gabungan ini, menjadi contoh seperti mana di negeri-negeri yang berada di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat. Seharusnya mereka ini memastikan kemudahan kerajaan tidak disalahguna di dalam proses pilihan raya atau pilihan raya kecil. Namun di dalam pilihan raya di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah, dikatakan bahawa kerajaan negeri telah menggunakan beberapa sumber-sumber Kerajaan Negeri, secara langsung dan tidak langsung, untuk tujuan kempen mereka. Begitu juga, jika Bersih mahukan akses yang saksama dan adil kepada media cetak dan elektronik yang cenderung kepada BN, ia juga seharusnya menggalakkan media online yang pro pembangkang agar lebih bersikap adil dan seimbang dalam liputan dan analisis mereka tentang isu politik, memandangkan media secara siber di Malaysia pada hari ini adalah merupakan salah satu sumber maklumat yang penting dan juga palsu.
5) Sungguhpun terdapat beberapa tuntutan Bersih yang munasabah, kegagalan mereka untuk membuktikan tuntutan-tuntutan ini dalam aspek yang lebih luas telah mencemarkan kredibilitinya. Dengan mengambil kira bahawa terdapat kelemahan dan kepincangan di dalam sistem pilihan raya, Malaysia merupakan salah satu daripada beberapa negara di Selatan Global yang telah mengadakan pilihan raya yang disertai oleh pihak-pihak yang mempunyai ideologi yang berbeza sama sekali semenjak merdeka. Adalah sangat penting untuk diakui bahawa pilihan raya ini adalah bebas daripada keganasan - satu perkara yang jarang sekali berlaku di negara-negara Selatan. Dalam Pilihan Raya Umum Pertama, dua buah negeri telah berada di bawah pimpinan parti pembangkang. Hari ini, empat daripada 13 negeri di Persekutuan berada di bawah pemerintahan pihak pembangkang. Belum pernah lagi di dalam pilihan raya politik Malaysia bila mana pihak pembangkang memerintah dengan kurang daripada 35 peratus undi popular.
Keselamatan
1) Jika isu yang dibangkitkan oleh Bersih perlu dilihat secara adil menurut pemahaman mereka, maka seharusnya orang ramai juga perlu memberi pertimbangan yang sewajarnya kepada soal keselamatan seperti yang dinyatakan dalam Perkara 10 (2), a, b, dan c Perlembagaan Malaysia. Tidak dinafikan bahawa suhu politik telah meningkat sebanyak beberapa darjah dengan keazaman tiga organisasi untuk meneruskan perhimpunan dan perarakan tanpa permit daripada pihak polis, Pemimpin dua organisasi tersebut juga menerima ancaman bunuh.
2) Terdapat satu lagi perspektif yang perlu dilihat secara kontekstual iaitu kepada persoalan keselamatan yang tidak sepatutnya kita abaikan. Di dalam demonstrasi Bersih yang pertama pada 10 November 2007, beberapa orang telah mendapat kecederaan. Terdapat juga beberapa kecederaan semasa demonstrasi Hindraf pada 25 November dalam tahun yang sama. Hampir kesemua demonstrasi reformasi bermula dari September 1998 sehinggalah pertengahan tahun 2000, terdapat beberapa individu dan anggota polis yang telah mendapat kecederaan.
3) Saya berfikir pada mulanya bahawa penunjuk perasaan “Bersih” seharus dibenarkan untuk berkumpul secara aman di stadium, selaras dengan hak Perlembagaan mereka tetapi saya tidak menyedari bahawa terdapat isu keselamatan yang mengintai di sebaliknya. Jika sekiranya, pilihan untuk berkumpul di stadium menjadi kenyataan, elemen-elemen tertentu di dalam Bersih, akan menjadikan stadium sama seperti Dataran Tahrir, dengan penunjuk perasaan berkumpul dan berkhemah pada siang dan malam selama beberapa minggu. Perkara ini sudah tentu akan menarik perhatian media Barat untuk berada di sana bagi menggembar-gemburkan lagi situasi. Ini disokong oleh pengaruh kedua-dua pemimpin de facto dan de jure Bersih iaitu Anwar Ibrahim dan Ambiga Sreenivasan yang sememangnya mempunyai hubungan rapat dengan pihak media Barat. Ia akan menjadi ejekan kepada keadilan dan kesaksamaan negara kerana situasi Malaysia tidak kurang bezanya berbanding Mubarak di Mesir atau monarki Arab yang autokratik, yang kini dicabar oleh rakyat mereka. Tiada satu pun di antara mereka adalah pewaris kepada pemerintahan lebih daripada lima dekad yang disahkan melalui pilihan raya politik yang kompetitif.
Impak
1) Kita juga seharusnya memberikan perhatian kepada kesan perhimpunan dan perarakan 9 Julai kepada pemandu teksi, peniaga, pembeli dan orang awam. Terdapat kebarangkalian yang tinggi bahawa perhimpunan ini akan menyebabkan impak yang negatif terutama apabila ia melibatkan tiga kumpulan yang mempunyai agenda mereka tersendiri.
Peniaga dan pemandu teksi di kawasan-kawasan yang terlibat akan kehilangan pendapatan.
Sekali lagi seharusnya kita belajar daripada sejarah silam/masa lampau. Dalam demonstrasi sebelumnya di Kuala Lumpur, masyarakat di pelbagai lapisan hidup terpaksa menanggung akibatnya.
1 comment:
Dalam hal IMpak saya yg ditulis penulis saya setuju sangat...dlm komen saya yg lepas saya tak setuju kerajaan membenarkan pemuda umno dan badan2 parti yg lain untuk turun menentang perhimpunan bersih.sebab kalau kedua2 kempulan bertemu pasti pergaduhaan akan berlaku keadaan akan tak terkawal oleh polis dan ramai yang mati atau cedera...Yg dipersalahkan oleh Dunia nanti pasti kerjaan yg memerintah..Pasti!!
Post a Comment