Sunday, June 26, 2011

Perhimpunan haram: KDN teliti semua laporan


PUTRAJAYA 25 Jun - Kementerian Dalam Negeri memberi jaminan pihaknya akan meneliti kira-kira 1,000 laporan polis yang telah diterima berhubung penganjuran perhimpunan haram oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai ini.

Ketua Setiausahanya, Tan Sri Mahmood Adam berkata, pihaknya pada masa yang sama akan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk mereka yang mahu tindakan tegas diambil ke atas Bersih.

''NGO dan rakyat bebas untuk memberi pandangan supaya tindakan tegas diambil, kita akan mengambil kira semua pandangan dan laporan polis yang dibuat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan dialog selama lebih tiga jam dengan kira-kira 100 pemimpin persatuan sukarela dari seluruh negara di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mahmood berkata, polis tidak akan membuat penangkapan secara sewenang-wenangnya berhubung penganjuran perhimpunan haram Bersih kerana tindakan tersebut tidak akan membawa jalan penyelesaian yang kekal.

''Saya sebaliknya lebih percaya kepada cara berbincang dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengadakan perbincangan dengan pihak yang berkenaan.

''Biarlah perbincangan ini dijalankan, kita masih ada masa untuk berbuat demikian," katanya.
UTUASAN MALAYSIA

No comments: