Wednesday, December 1, 2010

Institusi ketua masyarakat tak harus dipolitikkan


Peranan ketua masyarakat kini lebih rumit, sering digunakan sebagai bahan politik, kata Awang Tengah

SIBU: Peranan ketua masyarakat hari ini menjadi lebih rumit apabila pihak tertentu sering menggunakan kedudukan mereka sebagai bahan politik, terutama sewaktu pilihan raya.

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ketua masyarakat telah digunakan oleh pihak tertentu sebagai bahan politik untuk kepentingan sempit mereka walaupun institusi ketua masyarakat bukanlah satu badan yang patut dipolitikkan.

“Saya berharap ketua masyarakat tidak terperangkap dalam permainan politik yang merugikan ini kerana pihak yang akan menanggung kerugian terbesar dalam hal ini ialah rakyat di Sarawak.

“Mereka (rakyat) masih lagi dahagakan kemudahan asas dan pembangunan fizikal seperti kemudahan sekolah, jalan raya, bekalan air, elektrik dan tidak ada masa untuk terlibat dalam politik omong kosong,” ujarnya dalam ucaptama Seminar Pembangunan dan Kepimpinan Ketua Masyarakat Negeri Sarawak 2010 Bahagian Sibu, semalam.

Seminar siri keempat daripada 10 siri ini yang dihadiri hampir 800 ketua masyarakat, telah dirasmikan oleh Ketua Menteri, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud semalam.

Awang Tengah berkata ketua masyarakat harus melihat peranan mereka dengan lebih luas dan menyeluruh memandangkan peranan sebagai ketua kampung atau tuai rumah yang hanya menjaga kebajikan anak buah mereka tidak lagi memadai pada zaman sekarang.

“Ketua masyarakat dikehendaki mempunyai mentaliti yang progresif dan berteraskan tindakan. Mereka dikehendaki menjadi fasilitator antara rakyat dan kerajaan serta bertindak sebagai jurucakap rakyat dalam menyuarakan kepentingan, masalah dan rintihan rakyat.

“Kalau ketua masyarakat dapat memainkan peranan ini dengan baik, maka selamatlah Negeri Sarawak daripada apa-apa masalah pembangunan dan sosial,” katanya sambil menyarankan ketua masyarakat agar memberi kesedaran kepada anak buah dan anak buah mereka tentang perkembangan semasa dalam gelombang kedua pembangunan Sarawak.

Awang Tengah yang juga Menteri Kemudahan Awam memberitahu, dalam menangani cabaran sebagai ketua masyarakat, mereka perlu menghadapi realiti baru memandangkan keadaan sekarang telah berbeza dan berubah sejak sedekad yang lalu.

Katanya, ketua masyarakat sendiri perlu berubah dahulu untuk menangani cabaran-cabaran tersebut kerana jika tidak, mereka akan dilihat sebagai ketinggalan zaman dan dianggap tidak relevan dalam memainkan peranan selaku ketua masyarakat da-lam era semasa.

Beliau memberitahu, keberkesanan pemimpin di peringkat akar umbi akan menentukan kesejahteraan penduduk di seluruh rantau Sarawak, terutama di rumah panjang, kampung dan kawasan bandar.

“Oleh itu, pengetahuan dan kemahiran yang relevan untuk meningkatkan keupayaan dan kebolehan mereka perlu sentiasa diberi keutamaan. Dengan cara tesebut, mereka akan lebih mampu memainkan peranan dan tanggungjawab yang diamanah selain mengurus dan menguatkuasakan adat istiadat di bawah bidang kuasa masing-masing.

“Seorang ketua masyarakat yang efektif dapat membantu kerajaan dalam mewujud serta membangunkan masyarakat yang berfikiran maju dan yang dapat melihat pembangunan dalam konteks lebih luas,” tambah Awang Tengah.

1 comment:

kadirsofia said...

Betul kata dato sri awg. tapi kalaulah dah lantik ketua masyarakat yang lahir dari platform politik mana tidak ketua kaum berpolitik, dan kalaulah memilih ketua kaum yang tidak berpendidikan no knowlege mana mungkin nak bantu kerajaan seperti dato bagi tahu. di sadong jaya contohnya sampai kiamatpun sik akan maju sekiranya YB dan kerajaan masih pilih ketua kaum yang sik ada pengetahuan dan berpendidikan.