Friday, November 26, 2010

Saya lebih suka ahli akademik daripada ahli politik: Adenan


Beliau akui ada kala politik boleh membuat seseorang cukup tertekan.
KUCHING: Penasihat Khas di Jabatan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berkata beliau lebih suka untuk mendekati dan berbicara dengan pelajar dan ahli akademik daripada ahli politik.

Adenan yang juga pengerusi Yayasan Sarawak berkata dengan nada berseloroh, selepas bertahun-tahun lamanya berkecimpung dalam dunia politik semenjak berusia 32 tahun, banyak pengalaman pahit manis dilaluinya.

Beliau menjelaskan ada kalanya politik boleh membuat seseorang cukup tertekan.

“Mendengar dan berbual dengan pelajar dan ahli akademik adalah suatu yang sentiasa menyegarkan berbanding mendengar kata-kata ahli politik setiap masa. Saya mempunyai banyak pengalaman dalam dunia ini (politik).

“Ada kalanya ia boleh menyebabkan anda tertekan,” katanya ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Minoriti dan Majoriti Bahasa, Budaya dan Identiti di Hotel Hilton, semalam.

Majlis itu dianjurkan Persatuan Bahasa Moden Malaysia (MAML) dan Pusat Pengajian Bahasa Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bermula sejak Selasa lalu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu berkata walaupun terlibat dalam dunia politik semenjak berusia 32 tahun, beliau mendapati ada sesuatu yang tersirat di sebalik kehidupan politik dan retoriknya.

Adenan bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai kerjaya politiknya.

Menyentuh mengenai persidangan itu Adenan yang juga Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata Sarawak berjaya menyatupadukan kira-kira 40 etnik kerana amalan saling hormat-menghormati budaya, dialek dan bahasa antara satu sama lain cukup menebal di kalangan rakyat negeri ini.

No comments: