Tuesday, November 2, 2010

Bekas ADUN Engkili keluar dari SUPP

02/11/2010 9:43pm

KUCHING 2 Nov. - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Toh Heng San hari ini mengambil keputusan untuk keluar dari Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), selepas mendakwa parti itu sudah menyimpang daripada perjuangan politiknya dan tidak lagi berjuang untuk kepentingan rakyat.

Langkah Heng Sen itu juga dikatakan ekoran bantahannya terhadap keputusan SUPP menerima kemasukan ADUN Engkilili, Dr. Johincal Rayong Nyipa, yang menentang calon SUPP Jonathan Krai Pilo, dalam pilihan raya negeri pada 2006.

Heng San, yang merupakan Pengerusi SUPP Cawangan Engkilili sejak 1990, sebelum ini pernah membuat pengumuman bahawa beliau akan meninggalkan parti itu sekiranya pemimpin parti menerima kemasukan Dr. Rayong, yang kemudiannya mengisytiharkan diri sebagai ADUN yang menyokong BN.

"Ia adalah satu keputusan yang sukar untuk meninggalkan SUPP, namun ia perlu kerana perjuangan parti kini tidak lagi selaras dengan kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Heng San merupakan ADUN Engkilili dari 1991 hingga 2006, namun dia diminta tidak mempertahankan kerusi DUN kawasan itu pada pilihan raya lepas untuk memberi laluan kepada Jonathan Krai Pilo.

Pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri lepas Dr. Rayong, yang bertanding atas tiket Parti Kebangsaan Sarawak (Snap), menewaskan Jonathan dengan 426 undi.

Sementara itu Presiden parti, Tan Sri Dr George Chan berkata, langkah Heng San keluar dari parti tidak akan memberi kesan kepada parti itu pada pilihan raya negeri akan datang.

Permohonan Dr. Rayong untuk menyertai SUPP diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja Pusat SUPP pada 20 September lepas. - Bernama

No comments: