Friday, July 16, 2010

Perpaduan: Muhyiddin hargai keterbukaan Nik Aziz


Muhyiddin Yassin beramah mesra dengan orang ramai ketika mengadakan tinjauan di sekitar bandar Tanah Merah, semalam. Turut sama Mustapa Mohamed dan Ikmal Hisham Abdul Aziz. - BERNAMA

JELI 15 Julai - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, UMNO sedia menjalin kerjasama dengan Pas kerana parti itu menyokong perjuangan agama Islam dan orang Melayu.

Lantaran itu, katanya, UMNO bersedia bertemu dengan Pas apabila soal kerjasama kedua-dua parti orang Melayu itu dibangkitkan oleh tokoh-tokoh agama dan pemimpin masyarakat.

"Bila ada pihak yang menyeru kepada kebaikan, kita sebagai parti yang menyokong perjuangan agama dan orang Melayu, kita menyambut baik, sebab itu kita kata kita bersedia (untuk bertemu Pas).

"Takkan perkara yang baik itu kita nak ketepikan, dia bukan soal kita kuat atau pun lemah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Jeli di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Jeli yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan yang juga Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Muhyiddin ditanya mengenai kesediaan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk bertemu beliau bagi membincangkan kerjasama tersebut.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam reaksinya, menolak sebarang dakwaan bahawa UMNO kini berada dalam keadaan terlalu lemah sehingga terpaksa mencari rakan baru termasuk menjalin kerjasama dengan Pas.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, beliau amat menghargai keterbukaan Nik Abdul Aziz tersebut dan akan memilih masa yang sesuai untuk bertemu dengan Menteri Besar Kelantan itu.

"Saya ucap terima kasih kerana nampak daripada kenyataan yang beliau buat, beliau bersedia bila-bila masa (nak berjumpa) sama ada saya datang jumpa atau beliau datang jumpa itu soal kedua.

"Jadi, saya amat menghargai sikap keterbukaan beliau itu. Beliau seorang tokoh agama yang memang faham tentang soal isu perpaduan ummah, cuma saya akan tentukan masa yang agak sesuai, mungkin tidak berapa lama lagi untuk kita adakan pertemuan," katanya.

No comments: