Tuesday, July 27, 2010

Guru Gred 41 hingga 48 dibenar terlibat dalam politik


Bermula 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan melibatkan diri dalam politik, demikian diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.


Menurut Mohd Sidek, langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memain peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara.

"Masanya sudah tiba mereka dibenar aktif semula dalam politik," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bagi tujuan itu, beliau berkata pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Tindakan sedang diambil untuk mewartakawan pindaan peraturan tersebut, tambahnya.

Sebelum ini, Peraturan 21(2) peraturan tersebut menetapkan hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.

Bernama melaporkan di bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu.

"Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran tidak boleh mewakilkan kuasanya untuk memberikan kelulusan bertulis itu kepada mana-mana orang lain dan apa-apa keputusan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran adalah muktamad," kata Mohd Sidek.

Beliau berkata syarat-syarat ketat akan dikenakan agar tugas dan fokus utama golongan itu iaitu mendidik tidak terjejas dengan penglibatan mereka dalam politik.

Katanya mereka yang dibenarkan terlibat dalam politik kelak hendaklah mematuhi sepenuhnya Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, termasuk batasan tugas mereka sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan dengan aktiviti dalam politik.-27/7/2010

No comments: