Monday, June 21, 2010

PM: Ancaman JI bukan untuk alih isu

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM utusanperak@utusan.com.my

BAGAN DATOH 20 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, isu ancaman Jemaah Islamiah (JI) terhadap keselamatan negara adalah perkara benar, bukan sengaja ditimbulkan kerajaan untuk mengalihkan isu seperti didakwa pembangkang.

Sehubungan itu Perdana Menteri menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi dengan usaha jahat mengancam keselamatan negara dan tindakan pencegahan amat penting untuk dilaksanakan.

Menurut beliau, seluruh rakyat perlu menaruh kepercayaan penuh kepada pihak berkuasa untuk menangani keselamatan negara, jika tidak semua pihak akan menyesal apabila berlakunya sesuatu yang tidak diingini kelak.

"Perkara ini adalah sesuatu yang benar. Bukan sesuatu yang diada-adakan atau sengaja nak mengalih pandangan rakyat seperti yang didakwa oleh pembangkang.

"Ini merupakan soal keselamatan negara dan ia pernah berlaku sebelum ini dengan penglibatan pensyarah bertaraf profesor madya. Kerajaan tidak berkompromi apabila melibatkan nyawa orang tidak bersalah dan kepentingan awam.

"Sebab itulah kita mesti percaya kepada polis dan perisik kita yang memang mempunyai banyak pengalaman dalam menangani ancaman kumpulan militan dan JI," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pemimpin bersama rakyat dan pelancaran projek pembinaan limbungan kapal NGV Tech. Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Khamis lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sebuah akhbar mempersoalkan tindakan polis menghantar pulang suspek warga asing dipercayai terlibat dengan JI dan tidak mendakwa mereka di negara ini.

Malah Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menganggap isu mengenai JI hanya helah Barisan Nasional (BN) untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu besar lain yang timbul ketika ini.

Tambah Najib, kecekapan dan keberkesanan pihak berkuasa telah menyebabkan tidak berlakunya sebarang insiden meragut nyawa dan merosakkan harta benda di negara ini.

"Kita mesti percaya kepada pihak berkuasa yang terlibat menjaga keselamatan negara bahawa mereka mampu menghindari negara daripada berlakunya sesuatu perkara buruk.

"Jika kita meraguinya dan sesuatu berlaku, nanti kita akan menyesal. Sudah tentu kerajaan pula akan dipersalahkan kononnya kita tidak mengambil langkah pencegahan.

"Tetapi apabila tindakan pencegahan dibuat, mereka akan kata kita sengaja ada-adakan isu ini. Ini permainan parti pembangkang. Apabila kita buat dia kata kita tidak betul dan apabila tidak buat, kita tetap tidak betul," jelasnya.

No comments: