Thursday, June 10, 2010

Koperasi pemborongan diwujudkan di S’wak

SIMUNJAN: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mewujudkan koperasi pemborongan bagi setiap kawasan dan daerah negeri ini tidak lama lagi.

NARODEN

NARODEN

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera), Mohd Naroden Majais berkata SKM telah mengenal pasti sebanyak 28 buah koperasi di negeri ini yang dilantik sebagai koperasi borong atau mentor bagi menyalurkan barang pengguna dengan harga lebih rendah.

Beliau berkata secara tidak langsung koperasi borong dapat membantu meringankan beban anggota dan masyarakat setempat terutama barang terkawal seperti gula, beras, minyak masak, tepung, tong gas serta minyak petrol dan diesel.

“Penubuhan koperasi borong merupakan perancangan strategik yang baik dilakukan oleh kerajaan dengan menyediakan rangkaian koperasi pemborongan yang akan memberi kelebihan kepada anggota koperasi memperolehi harga berpatutan. Malah, KPDNKK akan membiayai kos pengangkutan (subsidi) bagi barangan terbabit termasuk 25 barangan utama lain,” katanya.

Berucap merasmikan seminar mengkoperasikan masyarakat ‘I Koperasi 1 Komuniti’ di Kampung Samalatong di sini semalam, Naroden menjelaskan sebanyak 10 buah koperasi telah dilantik sebagai pemborong di seluruh negeri termasuk di Kuching, Bau, Padawan, Serian, Samarahan, Sebuyau, Sri Aman, Kanowit, Song, Kapit dan Belaga.

Seminar sehari anjuran SKM dan Pejabat Daerah Simunjan itu dihadiri kira-kira 100 peserta dari sekitar daerah Simunjan. Hadir sama Pengarah SKM Sarawak Ishak Samdin, Pengarah Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera Sarawak (UPUB) Sutin Sahmat dan Temenggong Anthony Nipak.

Naroden menarik perhatian bagi memperkukuh program pemborongan itu usahasama antara Koperasi Kojaksa Sarawak Berhad dengan anak syarikat Koperasi Felda Nasional Berhad yang akan membekalkan barangan kawalan dan lain-lain.

“Saya percaya dengan pengwujudan koperasi mentor itu maka semua koperasi yang telah ditubuhkan di negeri ini akan mendapat manfaat daripada program pemborongan itu. Malah, saya yakin program itu turut dinikmati oleh penduduk di sini bagi mewujudkan koperasi pelancongan terutamanya bagi program inap desa.

“Selain itu, saya juga dimaklumkan bahawa di Simunjan terdapat koperasi yang mencebur diri dalam sektor pertanian dan ternakan secara komersil seperti Koperasi Bundak Berhad yang aktif dalam sektor penanaman padi, Koperasi Lang Berhad yang mengusahakan tanaman kelapa sawit dan Koperasi Persatuan Akaukultur Simunjan Berhad dengan ternakan ikan keli,” katanya.

Naroden yang juga Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber berkata adalah menjadi dasar kerajaan melalui SKM untuk memberikan sokongan dan bantuan kepada koperasi dari aspek ekonomi dan pembangunan sosial demi meningkatkan taraf hidup masyarakat.

Justeru, kerajaan telah mengatur strategi bagi melahirkan kumpulan usahawan yang berjaya dalam gerakan koperasi melalui penglibatan dalam aktiviti ekonomi yang berdaya saing tinggi.

“Saya juga berharap dengan penubuhan Majlis Perhubungan Koperasi Negeri (MPKN) akan dapat memantau dan menentukan hala tuju gerakan koperasi khususnya dalam negeri dan daerah seluruh negeri di samping mewujudkan kerjasama semua pihak,” katanya.

No comments: