KUCHING 19 Mei - Barisan Nasional (BN) akan memantau sejauh mana kemampuan DAP dalam membela nasib penduduk di Parlimen Sibu setelah parti itu memenangi pilihan raya kecil kerusi tersebut Ahad lalu.
Datuk Seri Adenan Satem (BN-Tanjung Datu) berkata, DAP yang banyak menabur janji sepanjang kempen pilihan raya itu mempunyai tempoh kira-kira dua tahun sebelum pilihan raya umum akan datang untuk membuktikan kemampuan mereka.
''BN negeri akan memantau secara dekat apa yang boleh dilakukan DAP untuk kemajuan dan pembangunan Sibu secara keseluruhannya.
''Hanya dengan menang di Sibu, pembangkang 'berlagak' dan bercakap besar dengan rakyat tetapi perlu diingatkan, DAP harus menterjemahkan undi kepada bentuk pembangunan yang rakyat inginkan," katanya yang juga Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul terima kasih ucapan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-16 di sini hari ini.
Adenan berkata, BN Sarawak tidak panik dengan kekalahan calonnya pada pilihan raya kecil itu memandangkan ia tidak memberi kesan kepada kerajaan sama ada di peringkat pusat mahupun negeri.
Katanya, hanya dengan menang di Sibu, BN masih lagi menguasai Dewan Undangan Negeri (DUN) dan DAP masih kekal sebagai pembangkang.
Tambahnya, BN Sarawak juga tidak mudah panik dengan rangkaian pakatan pembangkang yang kononnya ingin menumbangkan kerajaan BN di peringkat pusat dan negeri.
''Pada suatu ketika, pakatan pembangkang begitu yakin dengan undi yang diberikan rakyat kepada mereka sehingga menguasai lima negeri, sebelum Perak terlepas semula kepada BN.
''Hanya disebabkan itu mereka telah memasang angan-angan untuk mengambil alih kepemimpinan BN di peringkat Persekutuan dan negeri malah begitu yakin untuk 'mengambil alih' kerajaan BN pada tarikh 16 September 2008, tetapi ia berlalu begitu saja hingga menjadi bahan ketawa," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Adenan menyuarakan rasa kesalnya terhadap sikap pembangkang yang bersikap biadab ketika persidangan DUN.
Katanya, mereka selalunya tidak menghormati peraturan mesyuarat dan dewan yang mulia dengan menimbulkan kekecohan hingga memaksa sesi DUN ditangguhkan.
No comments:
Post a Comment