Thursday, March 11, 2010

Sheikh Mohammed Sayed Tantawi meninggal dunia : AL_FATIHAH

KAHERAH 10 Mac – Sheikh Al-Azhar, Sheikh Mohammed Sayed Tantawi meninggal dunia di Arab Saudi hari ini setelah mengalami serangan sakit jantung. Beliau berada di Riyadh untuk menghadiri majlis anugerah Raja Faisal malam tadi.

Tantawi, 82, sedang menaiki sebuah pesawat awal pagi ini apabila beliau berasa sakit lalu terjatuh di tangga, lapor stesen televisyen Mesir.

Beliau dikejarkan ke Hospital Amir Sultan di Riyadh di mana doktor mengesahkan kematiannya.

Jenazahnya dijangka dibawa pulang ke Kaherah, malam ini.

Tantawi dilantik sebagai Mufti Besar Mesir pada 1986. Beliau memegang jawatan itu selama hampir 10 tahun sebelum dilantik menjadi Sheikh Al-Azhar pada 1996.

Pada tahun lepas, Tantawi mencetuskan kontroversi apabila beliau mengharamkan pemakaian niqab (purdah) di semua sekolah dan asrama untuk pelajar perempuan di bawah kendalian Al-Azhar.

Al-Azhar, sebuah kompleks universiti dan masjid berusia lebih 1,000 tahun adalah antara pusat pengajian Islam paling terkemuka di dunia dan mengendalikan sekolah, universiti dan institusi pendidikan lain di seluruh Mesir. – Agensi

No comments: