Thursday, March 4, 2010

Rahmat di sebalik politik



Gerai jualan dan pameran yang disediakan pihak penganjur sentiasa mendapat perhatian perwakilan dan pemerhati sempena Perhimpunan Agung Ke-12 PBB di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, Kuching, semalam. - utusan/muhamad zaid adnan

KUCHING 3 Mac - Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) buat pertama kalinya menjadi pentas kepada Perhimpunan Agung Ke-12 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang diadakan setiap tiga tahun.

Perhimpunan yang bermula sejak 26 Februari lalu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam dan berakhir hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, perhimpunan yang dihadiri kira-kira 5,000 pemerhati dan perwakilan PBB dari seluruh pelosok Sarawak itu ibarat rahmat kepada usahawan bumiputera yang berdagang di 61 gerai yang disediakan pihak penganjur.

Ini kerana, setiap perwakilan yang datang ke BCCK memanfaatkan sepenuhnya masa yang ada dengan mengambil kesempatan membeli belah di luar dewan memandangkan ada di antara mereka yang datang dari kawasan pedalaman.

Situasi ini mengakibatkan para peniaga tidak menang tangan untuk melayan kerenah ribuan pelanggan yang tertarik dengan produk jualan mereka.

Tanggapan hanya golongan wanita yang gemar membeli-belah terbukti salah di BCCK kerana golongan lelaki juga tidak ketinggalan mendapatkan koleksi peribadi untuk dibawa pulang ke kampung mereka.

Bagi pemilik Lara Boutique, Hasmawati Hassan, 41, penganjuran Perhimpunan Agung PBB kali ini ibarat rahmat kepada usahawan bumiputera di negeri ini yang mula berniaga dari pukul 6.30 pagi hingga pukul 7 malam.

Menurutnya, jualan produknya mendapat sambutan yang amat menggalakkan bukan sahaja daripada perwakilan dan pemerhati malah wakil rakyat yang berminat mendapatkan hasil rekaan terbarunya.

"Kalau boleh pembabitan usahawan bumiputera dalam penganjuran seperti karnival dan majlis keramaian seperti ini dapat diperluaskan.

"Ini kerana ia secara tidak langsung dapat membantu usahawan bumiputera di negeri ini mengembangkan lagi perniagaan mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pameran dan jualan sempena Perhimpunan Agung PBB akan berlangsung dari 2 Mac hingga 5 Mac dari pukul 9 pagi hingga 10 malam.

Bagi Pengarah Urusan Anggun Collection, Jamilah Hairuni Shukri, 56, jualan produknya yang mengetengahkan pakaian bercorak setiap etnik di Sarawak meningkat berkali ganda sepanjang Perhimpunan Agung PBB ini.

Katanya, dia memperoleh jualan lebih RM10,000 semasa perasmian perhimpunan itu semalam dan menjangkakan hasil jualannya akan meningkat sehingga RM50,000 sepanjang konvensyen itu berlangsung.

"Saya ingin memuji pihak penganjur kerana menyediakan gerai dan menyusun program dengan baik di tempat yang begitu baik dan selesa kepada peniaga.

"Saya juga ingin mencadangkan supaya penganjuran perhimpunan besar seperti ini dapat diadakan dengan lebih kerap di BCCK," katanya.

Jamilah menambah, setiap peniaga perlu memberi kelainan terhadap produk jualan mereka bagi menarik perhatian pembeli di samping tidak berputus asa sekiranya mendapat kerugian.

Bagi peniaga kuih asli Sarawak, Zaini Zen, 50, jualannya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung yang menggemari kuih asli negeri ini.

Menurutnya, kuih yang dijualnya seperti edram, jaon, sepit dan rempeyek pada harga serendah RM2 sebungkus mendapat perhatian dan habis dibeli pengunjung.

"Saya memuji usaha pihak penganjur yang menggalakkan pembabitan usahawan bumiputera kerana sekurang-kurangnya nasib kami terbela," katanya.

Sementara itu, pengusaha roti dan ban, Dayang Rabuyah Awang Dillah, 59, memuji pihak penganjur Perhimpunan Agung PBB yang memberi peluang kepada usahawan bumiputera berniaga di tempat tumpuan ramai.

Dia yang berniaga di Pasar Tani Semarak berkata, jualan produknya meningkat berkali ganda setelah mendapat perhatian daripada perwakilan yang singgah melawat gerainya.

Menurutnya, penyertaan lebih ramai usahawan bumiputera dalam perniagaan di tempat-tempat tumpuan seperti itu perlu diperluaskan lagi.

No comments: