KUALA LUMPUR 20 Mac - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus menggunakan apa sahaja cara untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.
Bekas Setiausaha Biro Penerangan Pemuda PKR, Nordin Ahmad berkata, beliau tidak terkejut dengan pendedahan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim di Dewan Rakyat bahawa Anwar menggunakan nama Yang di- Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mencapai cita-citanya.
''Ini merupakan kali kedua Anwar menggunakan nama tentera untuk mencapai cita-citanya selepas melakukannya pada 2002 melalui gerakan reformasi apabila menghasut bekas-bekas tentera dan komando untuk menjatuhkan kerajaan dengan cara kekerasan,'' ujarnya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau mengulas pendedahan Zahrain di Dewan Rakyat Rabu lalu berhubung rancangan Ketua Pembangkang itu untuk mengambil alih kerajaan Pusat pada 16 September 2008.
Nordin yang menyertai PKR sejak parti itu ditubuhkan sehingga 2000 berkata, pada 2002 pengakuan juga dibuat oleh Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ketika itu, Tan Sri Abu Bakar Jamal berhubung cubaan mengajaknya menyertai rancangan menggulingkan kerajaan.
Katanya, Anwar harus dikenakan tindakan segera kerana apa yang didedahkan oleh Zahrain di Dewan Rakyat itu adalah benar.
''Anwar sehingga kini tidak menafikannya sebaliknya ke luar negara semata-mata untuk mendapatkan pandangan luar untuk terus menjayakan hasratnya menjatuhkan kerajaan," dakwanya.
No comments:
Post a Comment