KUALA LUMPUR 29 Mac - Parti Keadilan Rakyat (PKR) memang bercelaru walaupun secara konsisten dinafikan. Ironinya, bukan pihak lain yang menghuru-harakan mereka tetapi kalangan mereka sendiri yang berbuat demikian.
Terbaru, Wee Choo Keong (PKR- Wangsa Maju) secara terbuka di Dewan Rakyat hari ini menyatakan perasaan dukacitanya dengan perbuatan Little Napoleon di kalangan pembangkang yang cukup pintar iaitu melempar batu dan cekap pula menyembunyikan tangan.
Segelintir mereka itu, katanya, sanggup melakukan apa sahaja termasuk membuat pelbagai fitnah dan penipuan seperti menipu gambar dengan menggunakan teknik super imposed dan diterbitkan dalam Internet untuk mengaibkan tokoh politik negara.
"Tindakan fitnah ini telah diakui oleh Little Napoleon, tetapi tiada tindakan diambil terhadap dia. Sebaliknya tindakan disiplin diambil terhadap pemimpin lain atas perkara remeh-temeh.
"Jika mereka dibenar melakukan perkara sedemikian atas alasan kepentingan politik, tiada lagi perkara di dunia ini yang akan menghentikan mereka daripada menghancurkan negara ini," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Choo Keong, beliau juga amat kesal dengan tingkah laku Little Napoleon terhadap isu-isu yang dibangkitkan terhadap peristiwa 16 September atau perkara lain sama ada dalam atau luar Parlimen, yang langsung tidak dijawab oleh mereka.
Sebaliknya, kata beliau, jawapan Little Napoleon adalah merupakan serangan peribadi sahaja dengan harapan segalanya akan kembali pulih seperti biasa dan masyarakat sekali lagi diperbodohkan oleh mereka.
"Little Napoleon, nasihat saya adalah, jika kamu tidak mempunyai jawapan terhadap segala isu adalah lebih baik bersembunyi sahaja kerana Silence is Golden (Diam amat bernilai).
"Saya juga berharap Little Napoleon tersebut jangan memaksa saya untuk membongkarkan politics of deceit (politik penipuan), politics of expediencies (politik kewajaran) mereka dan politik cakap tidak serupa bikin atau politik bermusim," katanya.
Choo Keong berharap Little Napoleon menghentikan kegiatan politik kotor dan fitnah-memfitnah mereka melalui Internet atau medium lain untuk satu matlamat politik sempit yang mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan kepentingan rakyat.
"Jika kegiatan ini berterusan maka parti kita akan hancur, perjuangan akan jadi sia-sia sahaja dan dua sistem parti akan menjadi bayangan dan impian semata-mata," katanya.
1 comment:
Salam brp, pemegang baju Napoleon ini sangkakan dia boleh ikut cara Napoleon utk menjadi raja selepas di penjara serta di buang ke pulau Alba..... dia tidak sedar Napoleon akhirnya mati semasa dalam buangan...
Post a Comment