Sunday, February 28, 2010

Taib berkata mereka tawar diri untuk tidak dicalonkan semula pada pilihan raya negeri

TRASMI: Taib merasmikan Perhimpunan Agung Pemuda dan Wanita PBB di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK). Turut kelihatan, Jabu, Abang Johari, Awang Tengah, Empiang dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah (kanan sekali). — Gambar Jeffery Mostapha

RASMI: Taib merasmikan Perhimpunan Agung Pemuda dan Wanita PBB di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK). Turut kelihatan, Jabu, Abang Johari, Awang Tengah, Empiang dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah (kanan sekali). — Gambar Jeffery Mostapha

KUCHING: Lebih dari seorang penyandang daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menawarkan diri untuk tidak dicalonkan semula pada pilihan raya negeri seterusnya.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai jumlah wakil rakyat daripada PBB yang akan mengundur diri secara sukarela.

“Bukan seorang sahaja yang tidak mahu bertanding lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda dan Wanita PBB di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

PBB pada pilihan raya negeri 2006 menang 100 peratus di semua 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya.

Beliau yang juga Presiden PBB berkata, amalan dan budaya demikian memberi kesinambungan dalam barisan kepimpinan parti yang menjadi tulang belakang Barisan Nasional (BN) negeri.

Dalam ucapan perasmian, Taib berkata PBB sentiasa memberi ruang kepada golongan korporat, peguam, jurutera, peguam dan akauntan untuk menunjukkan prestasi masing-masing.

“Cara begini akan mewujudkan golongan pemikir dalam PBB yang akan membawa kemajuan parti,” katanya.

Menurut beliau lagi, budaya tidak memberi peluang untuk lebih banyak pemilihan bagi merebut jawatan-jawatan tinggi dalam PBB bermanfaat dalam usaha mengekalkan perpaduan di kalangan pemimpin dan ahli parti.

Katanya, dalam memastikan sesebuah parti politik lebih maju, PBB perlu menjalinkan perpaduan utuh di kalangan pemimpin dan ahlinya.

“Sesebuah organisasi perlu ada kesinambungan, perpaduan dan lebih berdaya maju. Ia (kepimpinan) akan diperbaharui dari semasa ke semasa, sebab itu kita perlu ada perkara seperti ini (budaya) untuk menjadi garis panduan,” katanya.

Beliau berkata budaya yang menghormati pemimpin senior parti dan perpaduan sesama ahli juga akan memberi kesan terhadap kemajuan ekonomi.

PBB menurut beliau perlu melaksanakan peranan penting dalam memajukan masyarakat dan negeri memandangkan ia merupakan parti tulang belakang BN negeri.

Meskipun demikian, PBB menurut beliau tidak menutup peluang kepada bakat-bakat baru untuk naik dalam karier politik.

Mereka ini lazimnya terdiri daripada individu berpandangan jauh. Katanya, golongan tersebut perlu dilatih dari peringkat bawahan untuk lebih matang dalam membantu membangunkan negeri menerusi perjuangan politik PBB.

“Kita memantau potensi pemimpin pada setiap masa. Mereka yang menunjukkan potensi memberangsangkan akan diberi peluang untuk naik,” katanya.

Mengenai permohonan Pergerakan Wanita agar kaum wanita diberikan 30 peratus kedudukan dalam jawatan pembuat keputusan, beliau berkata penyertaan golongan berkenaan kini sudah banyak.

No comments: