Thursday, February 25, 2010

Nallakaruppan anggap Wan Azizah 'pelakon' hebat

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selayaknya diberi anugerah 'Pelakon Wanita Terbaik 2010' atas kehebatan 'lakonannya' ketika berhadapan dengan rakyat.

Datuk S. Nallakaruppan yang secara sinis mencadangkan pengurniaan itu, bersedia mengemukakannya kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim untuk dipertimbangkan.

Beliau yang juga bekas rakan karib Anwar berkata, anugerah itu kelak akan mampu menaikkan lagi reputasi Wan Azizah bagi membolehkannya menerima tawaran lumayan dari Hollywood.

"Saya amat yakin kelak Wan Azizah mampu meraih 'Anugerah Academy' di Hollywood," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nallakarupan mengulas kenyataan Wan Azizah dalam sebuah akhbar Australia semalam yang menyifatkan perbicaraan kes liwat suaminya merupakan sebahagian daripada usaha untuk menamatkan karier politik Ketua Pembangkang itu.

Dakwa beliau, Wan Azizah seorang wanita yang hebat kerana boleh melalui kes dakwaan berkaitan moral suaminya.

Malah dakwa beliau lagi, Presiden PKR itu juga berada pada satu tahap melebihi wanita lain di Malaysia kerana boleh melakukan apa sahaja demi menjaga kepentingan kerjaya suaminya.

"Wan Azizah kena tahu bahawa bukan semua isteri seperti beliau yang boleh menerima keadaan sedemikian. Ramai kalangan wanita di Malaysia tidak boleh terima dengan senang hati.

"Mereka juga tidak akan berpura-pura hanya sebab kepentingan kerjaya suami mereka. Hanya Wan Azizah sahaja yang sanggup buat semua ini," katanya.

Nallakaruppan percaya kesanggupan Wan Azizah itu berpunca daripada keyakinannya untuk mencapai cita-citanya satu hari kelak.

"Saya kasihan dengan mereka yang masih percaya dengan lakonan dan sandiwara Wan Azizah," katanya.

Mengenai perbicaraan Anwar, Nallakarupan berkata, bekas sahabat karibnya itu sepatutnya menjadi seorang lelaki budiman dengan berhadapan segala pertuduhan yang dikemukakan.

''Mangsa membuat laporan dan pendakwaan kata ada bukti. Kalau lelaki yang gentleman, dia bukan saja akan hadapi perbicaraan tetapi berharap ia dijalankan secepat mungkin kerana itu penting bagi membersihkan namanya,'' ujarnya.

No comments: