Monday, February 22, 2010

MPPP Diberi Tempoh Sehingga Akhir Bulan Ini Serah Nama Bagi Program Subur

PUTRAJAYA, 22 Feb (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi tempoh sehingga akhir bulan ini kepada Majlis Pembangunan Pertanian Kawasan Parlimen (MPPP) untuk menyerahkan senarai nama penerima yang layak bagi program Subsidi Beras Untuk Rakyat (Subur).


Menterinya Datuk Seri Noh Omar berkata daripada 222 kawasan Parlimen di seluruh negara yang terlibat, hanya 110 kawasan sahaja yang telah menyerahkan senarai nama tersebut sehingga tarikh akhirnya pada 15 Februari lalu.

"Daripada 110 kawasan itu, ia membabitkan kira-kira 305,000 buah keluarga. Selagi kita tak dapat senarai nama itu daripada MPPP, maka kita tak boleh nak laksanakan program Subur," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan urusetia MPPP di sini pada Isnin.

Program Subur merupakan sistem pemberian kupon atau baucar beras untuk diberikan kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Ia bakal menggantikan semua program subsidi beras sedia ada, bertujuan memastikan bantuan kerajaan sampai sepenuhnya kepada golongan sasar.

Noh berkata kementeriannya perlu mendapatkan senarai nama daripada kesemua kawasan Parlimen tersebut untuk mengetahui jumlah sebenar mereka yang layak.

Katanya Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri akan membuat pengesahan bagi mereka yang benar-benar layak mengikut kriteria yang telah ditetapkan.

Bagaimanapun, katanya jika MPPP tidak dapat menyerahkan kesemua senarai nama tersebut pada akhir bulan ini, mereka perlu menyerahkan dahulu senarai nama yang telah diperolehi bagi membolehkan peringkat pertama program itu dilaksanakan.

"Kita nak tahu berapa ramai sebenarnya (yang terlibat) agar kita boleh lihat bagaimana pelaksanaan program Subur itu," katanya.

Beliau berkata antara masalah yang dikemukakan oleh pihak MPPP bagi membolehkan tempoh akhir itu dilanjutkan ialah proses untuk mendapatkan senarai nama itu masih berjalan dan kawasan Parlimen yang luas seperti di Sabah dan Sarawak menyukarkan mereka untuk memperoleh senarai nama dengan cepat.

-- BERNAMA

No comments: