Friday, February 5, 2010

Kedutaan asing intip maklumat sulit negara – Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR 4 Feb. – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan terdapat kedutaan asing di negara ini yang menggunakan Atase Pertahanan mereka bagi mengintip maklumat sulit negara terutamanya berhubung soal ketenteraan.

Menurutnya, kerajaan mempunyai bukti bahawa ‘kerja jahat’ itu turut dibantu oleh ‘orang dalam’ yang merupakan kakitangan Kementerian Pertahanan dan segelintir pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kita mempunyai maklumat bahawa kedutaan asing menggunakan Atase Pertahanan mereka dengan dibantu orang dalam untuk mendapatkan maklumat sulit negara yang mungkin dibayar dan pihak kami telah kenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

“Saya akan jelaskan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tentang perkara ini sebelum tindakan susulan diambil dan maklumat terperinci mengenainya didedahkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan perhimpunan bulanan kementerian itu di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah timbalannya, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah; Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Datuk Zulkifeli Mohd. Zin.

sumber : Utusan Malaysia 5/02/10

Add to Google

No comments: