Monday, February 1, 2010

BN Sarawak bakal menang besar pada pilihanraya

SIBU 31 Jan. - Barisan Nasional Sarawak (BN) dijangka mencapai kemenangan besar pada pilihan raya negeri akan datang berdasarkan maklum balas yang diterima dari penduduk di kawasan pedalaman.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, keyakinan terhadap kejayaan BN negeri itu adalah berdasarkan pertemuannya dengan penduduk semasa lawatannya ke kawasan pedalaman.

Meskipun mandat BN memerintah kerajaan negeri hanya berakhir pada Jun 2011 namun berdasarkan pengalaman lalu, pilihan raya negeri biasanya diadakan lebih awal.

"Dalam banyak lawatan saya, rakyat telah membayangkan kepada saya bahawa mereka akan memberi sokongan sepenuhnya kepada BN. Bagaimanapun, kita perlu meneruskan usaha gigih dalam membela nasib rakyat negeri ini," katanya.

Mohd. Shafie, yang juga Ahli Parlimen Semporna, berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan sesi perjumpaan bersama rakyat di Dewan Sekolah Kebangsaan Kampung Bungan Besar di Batang Igan, kira-kira dua jam perjalanan menaiki bot laju, dari sini, hari ini.

Beliau dijemput melawat kawasan itu oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Asan, Datuk Seri Wong Soon Koh, yang juga Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Negeri.

Esok, Mohd. Shafie akan melawat rumah panjang Rh.Melintang di Sungai Gat di kawasan Hulu Balleh di Kapit sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

Pada pilihan raya negeri Mei 2006, BN merampas 63 daripada 71 kerusi dengan DAP menang lima, Parti Keadilan Rakyat (PKR) satu kerusi dan dua oleh ahli bebas. - BERNAMA

No comments: