KUCHING 21 Feb. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Abdul Karim Rahman Hamzah hari ini mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Penarikan diri Abdul Karim itu bermakna Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof akan mengekalkan jawatan tersebut untuk tempoh sepenggal lagi.
Ini apabila tiada pemimpin lain yang mengemukakan pencalonan untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda PBB.
Abdul Karim mengumumkan penarikan diri beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako di sini hari ini yang turut dihadiri Fadillah.
Pada sidang akhbar itu, Abdul Karim memberitahu, keputusannya menarik diri dilakukan selepas mendengar pelbagai pandangan daripada pemimpin atasan di samping mahu menjaga perpaduan parti.
Menurutnya, sehubungan itu beliau telah menghantar surat kepada Jawatankuasa Pemilihan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PBB pada hari ini bagi memaklumkan penarikan balik pencalonan tersebut.
''Ekoran penarikan diri ini, hanya seorang calon yang tinggal iaitu Fadillah yang juga rakan karib saya. Maka dengan penarikan saya ini, beliau mengekalkan jawatan sebagai Ketua Pemuda PBB.
''Harapan saya ialah supaya Pergerakan Pemuda PBB akan terus mendokong dan membawa parti ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya sebelum ini dilaporkan tidak terkejut sekiranya jawatan yang disandangnya sejak tahun 2007 itu dicabar pada pemilihan Pemuda PBB yang dijadualkan 28 Februari ini.
Sementara itu Abdul Karim berkata, tiada sebarang desakan diterimanya supaya menarik diri tetapi telah menjadi budaya dalam PBB untuk mendapatkan pandangan pemimpin atasan jika melibatkan pertandingan dalam parti.
Katanya, apa juga keputusan yang dilakukan itu adalah menerusi muzakarah dengan tujuan mengutamakan parti apatah lagi Sarawak akan berhadapan dengan pilihan raya negeri tidak berapa lama lagi.
Beliau bagaimanapun memutuskan akan bertanding bagi merebut Jawatankuasa Majlis Kerja Tertinggi PBB.
''Kita tidak mempunyai sebarang kem di dalam PBB dan sesiapa yang mencalonkan saya untuk Ketua Pemuda sebelum ini akan faham berhubung keputusan menarik diri kerana kita perlu mementingkan parti terlebih dahulu.
''Memang saya tidak ada niat untuk bertanding dan keputusan sebelum ini dilakukan pada saat akhir. Hari ini kita atasi masalah yang ada dalam semangat setiakawan memandangkan saya dengan Fadillah telah berkawan sejak tahun 1997 lagi," ujarnya.
No comments:
Post a Comment