Wednesday, November 4, 2009

Percepat pengambilan tanah


Najib Tun Razak mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri kali ke-107 di Putrajaya, semalam yang turut dihadiri timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan (kanan). - BERNAMA

PUTRAJAYA 3 Nov. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu kerajaan-kerajaan negeri menyegerakan proses pengambilan tanah bagi mempercepatkan pelaksanaan projek-projek Persekutuan.

Perkara itu dibangkitkan beliau dalam pertemuan dengan Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Majlis itu diadakan sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang akan bermula esok.

Mengulas perkara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, proses pengambilan tanah yang dipercepatkan akan membolehkan sesuatu projek digerakkan secara lancar dan berkesan.

''Di Melaka sendiri, proses pengambilan tanah dibuat dalam tempoh sehari sahaja.

''Selain soal pengambilan tanah, Perdana Menteri pada pertemuan itu juga menekankan kepentingan sesuatu projek disiapkan mengikut jadual selaras dengan piawaian yang ditetapkan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI)," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Ali Rustam berkata, isu kepantasan perkhidmatan jalur lebar turut dibangkitkan oleh Perdana Menteri yang menurutnya masih perlahan dan perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

''Dengan kelajuan jalur lebar yang boleh diakses di seluruh negara, ia secara langsung menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

''Perdana Menteri mahu negara meningkatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak dua peratus tahun depan dan akan mencari kaedah untuk menambah dua peratus lagi," katanya.

Ketika membentangkan Bajet 2010 baru-baru ini, Najib mengumumkan peruntukan RM11.3 bilion daripada kerajaan bagi mempercepatkan pelaksanaan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) di negara ini.

Sebahagian daripada peruntukan tersebut iaitu RM2.4 bilion adalah daripada pihak kerajaan manakala RM8.9 bilion lagi daripada Telekom Malaysia Bhd. (TM).

Perdana Menteri pada 4 Ogos lalu mahu sasaran penembusan HSBB sebanyak 50 peratus daripada isi rumah negara menjelang akhir tahun hadapan dicapai sepenuhnya. Ketika ini, penembusan HSBB negara hanya ditahap 26 peratus.

HSBB dijangka meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak 0.6 peratus dan mewujudkan 100,000 pekerjaan menjelang 2017.

No comments: